SEORANG individu bergelar pendidik meninggal dunia selepas terkena berdas-das tembakan oleh seorang lelaki dalam kejadian di Fundacion, di Magdalena, Colombia pada 11 Mac lalu.
Insiden itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) kediaman mangsa, Profesor Guillermo Otero sebelum dikongsikan di media sosial baru-baru ini.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa ketika itu baru sahaja tiba di rumah selepas bekerja sebelum didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal.
Sebaik motosikal itu berhenti betul-betul di hadapan rumah mangsa, kelihatan seorang pembonceng lelaki yang tidak memakai topi keledar segera mengeluarkan pistol dan berterusan menembak mangsa.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
Guillermo yang juga seorang ahli agronomi (pakar pertanian) tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya terbaring tidak bermaya.
Kes pembunuhan pendidik dengan lebih 20 tahun pengalaman itu dipercayai ada kaitan dengan usahanya membela hak warga pendidik dan pelajar di negara itu.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
Guillermo Otero
Malah Persekutuan Pendidik Colombia (Fecode) turut menggesa agar pihak berkuasa segera memberkas individu yang bertanggungjawab atas kematian Guillermo.
“Kami menolak dan mengecam perbuatan jenayah ini dan kami menuntut pihak berkuasa segera memberikan keputusan hasil siasatan.
"Takziah buat keluarga mangsa, kami berharap selepas ini tiada lagi keganasan berlaku terhadap guru," katanya.
Dalam pada itu, menurut pihak berkuasa, Guillermo pernah terselamat daripada serangan tembakan yang dilakukan pada 2019 dipercayai ada kaitan dengan perjuangannya.
Guillermo mendedikasikan dirinya untuk mengajar selama lebih 20 tahun di Institusi Pendidikan Euclides Lizarazo, yang terletak di perbandaran El Reten. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram