[VIDEO] Bekas pengendali Johor dedah tewaskan Gergasi Merah bukan misi balas dendam


  • Podium
  • Selasa, 12 Mac 2024

Selangor FC dikecewakan JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu. — Agensi

SELANGOR FC pernah diangkat sebagai pasukan tanah air terbaik dan masih memegang rekod kejuaraan Piala Malaysia terbanyak dalam sejarah pertandingan setelah memenanginya sebanyak 33 kali.

Kejayaan itu pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada penyokong Gergasi Merah yang berbangga dengan pencapaian tersebut.

K. Devan antara pengendali yang berjaya membantu Selangor FC merangkul Piala Liga Super pada 2010, Piala FA 2009 dan Piala Sultan Ahmad Shah pada 2009.

Bagaimanapun, berikutan aksi hambar skuad Gergasi Merah pada musim 2011, Devan yang tidak berpuas hati dengan skuad berkenaan mengambil keputusan untuk meletak jawatan.

Ia susulan Selangor gagal memenangi sebarang piala sepanjang musim selain dilaporkan berdepan kemungkinan tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia 2011.

BACA LAGI: Belum mahu 'gantung but', katanya Zaquan Adha bakal ke Lembah Klang?

BACA LAGI: Tampil cemerlang sebagai peledak, Stefano Brundo bersedia beraksi di posisi tengah

Dalam pada itu, Devan yang sudah meninggalkan Selangor mengambil keputusan untuk mengemudi Johor FC ketika itu berjaya menewaskan skuad The Red Giants dengan keputusan 5-4 menerusi sepakan penalti aksi pusingan kedua Piala FA 2012.

Dalam aksi ketika itu, Selangor berjaya mengikat Johor FC dengan keputusan 2-2 namun perlawanan tersebut terpaksa dibawa ke penentuan sepakan penalti.

Devan dilaporkan berkata, perlawanan tersebut merupakan antara perlawanan terbaik Johor FC berikutan ketinggalan dengan 10 pemain selepas Azi Shahril Azmi mengutip kad kuning keduanya hampir 17 minit permainan.

Selepas aksi tersebut, Devan dilaporkan berkata, dia tidak boleh terlalu gembira dengan kemenangan tersebut dan lebih selesa menyebut ia sebagai kemenangan manis dalam kerjayanya.

Menurutnya, ia bukan perlawanan balas dendam kerana ia adalah pertempuran antara dua pasukan dan kami menewaskan salah satu pasukan terbaik di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram