[VIDEO] 'Keep The Hope Alive' jadi semboyan Kedah, pengurusan kena sama masuk ceruk cari penyokong 'revive' kantung kelab


  • Podium
  • Rabu, 13 Mac 2024

Kehadiran semula Rizal Ghazali (kiri) bersama KDA FC pastinya melonjak semangat penyokong Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

BARU-BARU ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih memberikan peluang buat Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk terus berada dalam saingan Liga Super 2024-25.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, Kedah dan KL City ketika ini menunjukkan kesungguhan mereka dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji.

Difahamkan, MFL memberikan peluang untuk kedua-dua pasukan itu menyelesaikan separuh daripada jumlah keseluruhan tunggakan sebelum atau pada 15 Mac dan menyelesaikan keseluruhan tunggakan sebelum atau pada 29 Mac.

Dalam pada itu, dalam misi mengukuhkan kewangan pasukan berkenaan, KDA FC dalam satu kenyataan pada Rabu di Facebook menjemput semua penyokong setia Sang Kenari untuk bersama-sama membantu kelab dalam usaha menuju kestabilan dan kejayaan pasukan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas pengendali Johor dedah tewaskan Gergasi Merah bukan misi balas dendam

BACA LAGI: Bakal ikut jejak abang di JDT, kelab Lembah Klang sambar Zaquan Adha sebagai jurulatih?

"Kedah Darul Aman FC melaungkan semboyan untuk meraih sokongan daripada peminat dan penyokong dalam usaha untuk mengukuhkan kewangan kelab.

"Kempen dengan slogan ‘KEEP THE HOPE ALIVE’ bertujuan untuk menyeru semua pihak berkepentingan termasuk pihak industri bola sepak, pihak swasta, media dan terutamanya peminat dan penyokong untuk bersama-sama KDA FC dalam menyumbang secara langsung atau tidak langsung.

"Kempen ‘KEEP THE HOPE ALIVE’ meniup semangat kebangkitan bukan hanya dari prestasi kelab dan pasukan, tetapi mengajak semua peminat di luar sana untuk membantu apa sahaja yang termampu dalam memastikan harapan untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia dapat diteruskan.

"Peminat dan penyokong boleh membantu kelab yang penuh tradisi bola sepak di Malaysia ini dengan pembelian pra-tempahan T-shirt edisi terhad iaitu bertemakan ‘KEEP THE HOPE ALIVE’," tulisnya.

Menariknya mengenai kempen tersebut, peminat yang membeli T-shirt berkenaan akan dimeterai nama mereka di dalam rekod kekal kelab, sebagai antara penyokong tegarnya.

Susulan itu, meninjau ruangan komen, terdapat beberapa penyokong yang berpendapat agar pengurusan KDA FC turut bergerak ke ceruk-ceruk kampung untuk mendapatkan bantuan daripada penyokong.

"Yang ni kita support, dua juta rakyat Kedah kalau 25 peratus support pembelian, RM50 pasti 25 juta dalam kantung kelab, cuma kelab kena berusaha dapatkan sokongan peminat dari pelosok daerah.

"Guna sebaiknya rolling 1/2 untuk season baru, 1/2 buat cash reserve reinvest bussiness untuk kelab, akan sustain kelab ni Insya-ALLAH," kata Nurakmal Ramli.

"Pengurusan kena cari juga penyokong di pelosok daerah, ramai je ni penyokong nak support," kata Mohd Farid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram