Dapat peluang kedua bersama NSFC, import Selangor enggan terus jadi malap


  • Podium
  • Rabu, 13 Mac 2024

Htet Aung mempunyai peluang kedua untuk menyerlah bersama Negeri Sembilan. — NSFC

PEMAIN import Negeri Sembilan FC, Hein Htet Aung mahu memastikan musim keduanya bersama-sama kelab itu berjaya membuahkan hasil yang membanggakan.

Dia yang dipinjamkan dari Selangor FC untuk dua musim berturut-turut mahu memastikan impaknya bersama-sama Negeri Sembilan akan lebih hebat berbanding ketika kali pertama bersama mereka.

Sebagai rekod, Htet Aung menghasilkan dua gol serta satu bantuan jaringan dalam sembilan penampilannya bersama-sama skuad Jang.

Bagi pemain Myanmar ini, misinya hanya satu iaitu untuk mendapatkan rekod jaringan yang lebih baik sekali gus membantu Negeri Sembilan terus memperoleh kemenangan dalam saingan Liga Super.

"Terima kasih kepada pihak pengurusan yang masih percayakan saya dan saya memang ingin menjaringkan seberapa banyak jaringan atau pun dapat melakukan bantuan gol.

"Sudah tentu saya sangat gembira apabila sekali lagi dapat dipinjamkan sebab saya pun dah pernah beraksi di Negeri Sembilan pada musim lepas dan saya tahu apa yang saya boleh buat di sini," kata Htet Aung kepada Malaysian Football League.

BACA LAGI: Terbang ke Johor kuatkan lagi spekulasi Police Tero jadi 'pusat transit' JDT

412808303_794267286047323_4819135972955114255_n

Htet Aung menyertai Selangor pada 2021. — NSFC

BACA LAGI: Masih tak ada kelab, rupanya Mat Don jadi bintang futsal di Jerman

Bagi Htet Aung, dia tidak tergugat dengan kehadiran dua pemain sayap baharu iaitu Hadin Azman serta Ikhwan Yazek yang bakal menguatkan lagi barisan Negeri Sembilan.

Sebaliknya, kehadiran mereka pastinya akan menimbulkan saingan sihat dalam kalangan pemain sekali gus akan memberikan kebaikan kepada skuad Negeri Sembilan itu sendiri.

"Saya rasa tiada masalah pun untuk saya bersaing dengan mereka dan gembira dengan kehadiran mereka ke sini. Kami pun sudah macam adik-beradik di sini dan persaingan yang sihat ini adalah untuk membantu kelab ini juga.

"Sangat bagus apabila dapat kembali berlatih dan sekarang adalah masa untuk mengenali pemain-pemain baharu yang datang ke sini. Apa pun, sokongan penyokong juga amat penting kepada kami dan saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa ada untuk kami," tambah Htet Aung.

Musim 2024/2025 dilihat begitu penting buat Htet Aung kerana perlu menghasilkan persembahan cemerlang untuk mendapatkan semula tempatnya di Selangor.

Jika prestasinya terus tidak memberangsangkan, ia mungkin akan membuatkan pemain itu akan tidak berada dalam perancangan Gergasi Merah.

Dengan mempunyai satu musim penuh bersama Negeri Sembilan, Htet Aung mempunyai masa yang cukup untuk buktikan kebolehannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram