Pilih setia di Kedah tapi isu gaji boleh buat Hidalgo cari angin baharu musim depan


  • Podium
  • Rabu, 29 Nov 2023

Hidalgo merupakan tonggak utama dalam barisan serangan skuad Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC

SEPANJANG jendela perpindahan kedua Liga Indonesia dibuka, beberapa kelab bertindak mendapatkan pemain import yang berkualiti dalam Liga Super.

Penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Kevin Ray Mendoza serta tonggak utama Kelantan United, OJ Porteira merupakan antara yang mendapat perhatian beberapa kelab.

Keputusan itu dibuat dikatakan berpunca daripada masalah dalaman yang dihadapi pemain-pemain berkenaan dengan beberapa laporan mengatakan mereka berdepan isu tunggakan gaji.

Jadi, tidak hairanlah apabila mereka enggan berfikir panjang setelah diberikan tawaran dengan harapan masalah kebajikan itu tidak berulang.

Namun, di sebalik nama yang memilih untuk berhijrah, ada di antara mereka yang memutuskan untuk terus kekal beraksi dalam Liga Super, termasuk tonggak utama Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo.

1691141000573

Bojan Hodak pastinya mahu menambah baik kekuatan serangan Persib Bandung dengan kualiti dimiliki Hidalgo. Agensi

Berdasarkan ciapan wartawan tanah air, T Avineshwaran, pemain sayap dari Argentina tersebut dikatakan sedang dirisik pencabar takhta Liga 1 Indonesia 2023/24, Persib Bandung.

"Difahamkan bahawa Persib Bandung pernah menghubungi Hidalgo, tetapi pemain berkenaan membuat keputusan untuk kekal bersama Kedah dan menamatkan musim bersama mereka," tulisnya.

Kebolehan dipamerkan pemain bertubuh kecil itu dalam arena bola sepak tanah air semestinya menyebabkan skuad kendalian Bojan Hodak itu tertarik untuk mendapatkan khidmatnya.

Mereka yang kini berada di kedudukan kedua liga dilihat berada dalam prestasi terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan dengan 38 mata dimiliki mereka tidak jauh membezakan skuad Pangeran Biru dengan pendahulu, Borneo FC dengan 44 mata.

Selain Persib Bandung, penyerang berusia 24 tahun itu turut dikhabarkan bakal menyertai PS Barito Putera yang kini berada di kedudukan kelapan Liga 1 Indonesia.

2299747

Skuad Sang Kenari turut berdepan isu gaji musim ini. Facebook/KDA FC

Ura-ura berkenaan sememangnya tidak menimbulkan sebarang keraguan memandangkan Hidalgo cukup berbahaya musim ini dengan tiga gol dan 10 bantuan jaringan direkodkannya dalam 23 penampilan Liga Super.

Sumbangannya yang bermakna itu menyaksikan KDA FC kini berada di tangga ketiga liga dengan hanya dua mata membezakan mereka dengan Selangor FC yang memiliki 55 mata.

Keputusannya untuk kekal boleh dianggap sebagai satu langkah cukup baik dengan skuad kendalian Nafuzi Zain itu berpeluang melayakkan diri ke pentas Asia musim depan.

Tetapi, sekiranya isu gaji yang melanda mereka berterusan, tiada sebab untuk pemain bertubuh kecil tersebut untuk menolak tawaran ke Indonesia.

Malah, beberapa kelab Liga Super, termasuk Selangor FC dan Johor Darul Takzim juga pastinya tidak mahu menolak peluang mendapatkannya jika kontraknya dengan KDA FC tidak disambung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram