SEORANG penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan jalan dalam kejadian di Jalan Duque de Caxias, Mutum, Brazil pada Ahad lalu.
Menurut laporan saksi, nahas itu berlaku sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang dari gereja kira-kira pukul 8.31 minit pagi.
Insiden itu dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kemalangan dan dikongsikan di laman sosial.
Klip berdurasi seminit 17 saat itu menunjukkan mangsa, Marcio Jose Hubner Batista, 43, yang menunggang motosikalnya di persimpangan jalan tiba-tiba dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah kanan.
Pertembungan tersebut mengakibatkan lelaki itu melambung sebelum terseret ke kaki lima, manakala motornya tercampak di tengah jalan.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat habiskan solat isyak, nenek temui ajal ketika berjemaah
Marcio bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum sempat menerima bantuan daripada pasukan perubatan.
Berdasarkan rakaman itu juga, pemandu kereta terbabit meraung sambil menutup wajahnya sejurus melihat mangsa sudah dalam keadaan tidak bernyawa.
Dia bagaimanapun cuba ditenangkan penduduk yang berada di lokasi kemalangan.
Pihak polis awam tiba di lokasi untuk menjalankan penyiasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram