FAM silap besar jika aksi Krgyzstan kekal di Bukit Jalil


  • Podium
  • Sabtu, 21 Okt 2023

Stadium Nasional Bukit Jalil tetap dipilih sebagai lokasi untuk perlawanan Malaysia lawan Krgyzstan. — Agensi

PERJALANAN Harimau Malaya ke Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 akan bermula pada November ini apabila aksi pusingan kedua kelayakan bagi dua kejohanan tersebut dijalankan serentak.

Diundi bersama-sama Oman, Krgyzstan dan juga Chinese Taipei dalam kumpulan D, skuad kendalian Kim Pan-gon mempunyai peluang terbuka untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan sekali gus menghampiri pintu Piala Dunia buat kali pertama.

Malaysia akan menentang Krgyzstan pada 16 November dengan perlawanan tersebut akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Akan tetapi, terdapat isu mengenai SNBJ selepas kualiti rumput yang mengecewakan selepas Pestabola Merdeka diadakan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimana pun memilih untuk meneruskan aksi kelayakan tersebut di SNBJ yang juga kandang keramat Harimau Malaya.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, FAM bakal berdepan kesilapan besar seandainya perlawanan tersebut diteruskan di SNBJ.

1. Risiko kecederaan pemain

Rumput SNBJ yang rosak ketika Pestabola Merdeka sememangnya merisaukan. Penyokong pantas memberikan kritikan dengan kualiti serta pemandangan yang buruk terhasil ketika Harimau Malaya beraksi.

Di sebalik pemandangan yang kurang enak, rumput yang rosak turut mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan.

petugas-saat-memperbaiki-rumput-rusak-dalam-laga-malaysia-vs-india-di-stadion-bukit-jalil

Rumput baharu SNBJ tercabut ketika Pestabola Merdeka. — Agensi

Risiko kecederaan yang boleh pemain dapat hasil daripada rumput rosak ini ada kalanya serius dan boleh memberi ancaman kepada karier mereka. Jika hendak diteruskan, FAM perlu memastikan pihak bertanggungjawab menyediakan padang terbaik sebelum Harimau Malaya turun beraksi.

2. Persembahan permainan akan terganggu

Satu permasalahan yang akan terjadi apabila perlawanan dimainkan di padang yang teruk adalah ia akan memberi kesan kepada corak permainan.

1B69152E-B66D-432F-880E-4A9A1B95AF23

Persembahan Malaysia terganggu kerana faktor padang yang teruk. — Facebook/FAM

Apabila permainan dimainkan dekat padang yang tidak cantik rumputnya, ia akan menganggu pergerakan bola terutamanya jika pasukan kerap melakukan hantaran pendek.

Disebabkan itu, pasukan terpaksa mengubah taktikal dan ini boleh merencatkan persembahan ketika perlawanan.

Masih ingat kepada aksi bertemu Bahrain pada 2022? Kualiti padang yang menurun disebabkan hujan lebat telah memaksa Pan-gon untuk mengubah taktikalnya.

3. Kehadiran tak 'kencang'

Satu perkara yang bakal menanti jika perlawanan tetap diadakan di SNBJ adalah jumlah kehadiran yang tidak 'kencang' boleh terjadi.

Hal ini kerana, aksi Malaysia menentang Krgyzstan akan dilangsungkan pada 16 November iaitu pada hari Khamis. Jumlah kehadiran boleh terganggu kerana faktor perlawanan diadakan pada hari bekerja. Seandainya ia diadakan pada Jumaat, potensi kebanjiran penyokong adalah tinggi kerana hari tersebut adalah permulaan kepada hujung minggu.

Oleh itu, FAM tidak boleh menjangkakan kehadiran yang tinggi sehingga 60,000 penyokong ke stadium. Tapi seandainya angka itu berjaya diraih, itu amat dialu-alukan.

Walaupun terdapat beberapa akibat yang bakal menanti jika FAM berkeras untuk beraksi di SNBJ, masih lagi terdapat beberapa kelebihan jika perlawanan itu terus diadakan di sana.

Pro bermain di SNBJ

1. Gelanggang keramat

Sudah pastinya, tidak lengkap Harimau Malaya tanpa beraksi di SNBJ yang merupakan gelanggang keramat. Setiap kali perlawanan melibatkan Malaysia diadakan di sana, aura sorakan penyokong pasti terserlah hinggakan sukar untuk pihak lawan mendakap kemenangan.

Jadi tidak hairanlah jika FAM benar-benar mahu perlawanan tersebut diadakan di SNBJ memandangkan status aksi tersebut yang merupakan perlawanan kelayakan Piala Dunia.

2339700

Ultras Malaya akan pastikan tidak mudah bagi pihak lawan bermain di SNBJ. — Facebook/FAM

Jika diadakan di SNBJ, pasti sedikit sebanyak akan menimbulkan kegerunan buat pihak lawan yang bertandang dan cuba untuk menewaskan Malaysia.

Jika stadium dipenuhi ekor Harimau Malaya, pasti ia akan memberikan tonik buat pemain untuk beraksi cemerlang di laman sendiri.

2. Mudah untuk penyokong datang

Walaupun perlawanan diadakan pada hari bekerja, namun begitu ia bukan satu masalah buat penyokong untuk ke SNBJ. Hal ini kerana, gelanggang keramat Harimau Malaya itu mudah untuk diakses.

SNBJ dekat dengan stesen LRT Bukit Jalil dan itu mudah untuk penyokong datang menyaksikan perlawanan tanpa mereka perlu risau menghadapi kesesakan lalu lintas pada hari bekerja.

Pihak RapidKL juga mungkin akan melanjutkan tempoh operasi LRT seperti yang mereka selalu lakukan jika terdapat perlawanan-perlawanan penting yang diadakan di SNBJ.

Dengan itu, penyokong tidak mempunyai masalah untuk ke stadium kerana mereka mempunyai pilihan untuk ke stadium dengan menaiki kenderaan awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram