TINDAKAN dua remaja menghasilkan video dengan isi kandungan (konten) tentang cara penggunaan salah gear kereta menerima kecaman hebat daripada orang ramai.
Ia susulan penjelasannya yang tidak tepat serta dapat menimbulkan salah faham terhadap masyarakat terutamanya individu yang berada dalam fasa pembelajaran.
Video dikongsikan di Instagram @aleparshad itu juga sekali gus dikatakan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dalam mendidik orang ramai tentang fungsi gear kereta.
BACA LAGI: Nombor plat tak patuh JPJ itu cerita lama — Young Syefura
Dalam video itu, salah seorang remaja terbabit menjelaskan satu-persatu fungsi huruf di gear yang tersasar jauh daripada maksud asalnya.
"P untuk potong, kalau kau nak potong orang depan, kau pergi dekat P. (Gear) R, atas highway (lebuh raya) kalau rasa nak lumba, dia race.
"N, kalau rasa tak cukup laju N ada keluar api kat ekzos. (Gear) D, kalau kau rasa nak main kat litar, drift pergi dekat D. (Gear) S, kalau atas lebuh raya tengah berlumba, agak-agak nak buat super," katanya.
Untuk rekod, gear P sepatutnya untuk parkir, R (reverse) atau undur kereta, N (neutral), D (drive) (pandu) dan S (sport) atau boleh digunakan untuk mendaki bukit atau memotong.
BACA LAGI: [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil
Rentetan itu, rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi kerana ada yang melihat ia hanya satu gurauan untuk memerli tindakan individu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
Namun, ada juga yang bimbang jika video tersebut ditonton dan dipraktikkan oleh kanak-kanak lebih-lebih lagi dewasa ini, banyak kes kenderaan dipandu individu bawah umur kerap dilaporkan media.
"Jangan ajar perkara tak betul. Nak seloroh pun biar bertempat," komen @roslansuk.
"Yang tak tahu jangan percaya, awasi anak-anak anda," tulis @qimieku.
"Dengar boleh, percaya jangan, kau buat bukan kereta saja hilang enjin, dengan kau sekali hilang nyawa mat," luah @nhasshila.
Sementara itu, ramai juga yang mendesak agar pihak berkuasa terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram