YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan agar kesemua anggota Dewan Parlimen menunjukkan contoh perlakuan, adab dan tata tertib yang baik ketika persidangan.
Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa Parlimen adalah tempat penggubal undang-undang berhimpun untuk menggubal sesuatu peraturan.
"Yang Berhormat (YB) buat peraturan dan YB semua adalah orang yang menggubalnya. Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal mematuhi peraturan yang dibuat.
"Saya harap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh yang baik di Dewan ini, jaga adab, tata tertib dan gunakan kata-kata yang sopan.
"Jika ada yang nak main politik, tunggulah masa pilihan raya," titah Tuanku ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin.
Sultan Ibrahim juga mengakui baginda pernah berasa malu untuk menghadiri persidangan Parlimen sebelum ini, selepas melihat kelakuan segelintir ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Justeru Seri Paduka Baginda membenarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli Dewan yang bertindak melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menghadiri persidangan selama 14 hari.
“Kalau tengok perangai ahli Parlimen sebelum ini, saya rasa malu hendak masuk ke Dewan ini.
"Saya beri greenlight (lampu hijau) kepada speaker untuk ambil tindakan terhadap ahli Parlimen yang melampaui batas, boleh banned (gantung) 14 hari jika ada yang masih degil.
"Oleh yang demikian, saya berharap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan yang mulia ini," titah baginda lagi.
Sebelum ini Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada Isnin.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Persidangan kali ini akan berlangsung 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram