'Bukan sebab stres belajar', doktor jelaskan ada 4 punca kes pelajar cemerlang negara lumpuh akibat saluran otak pecah


  • Massa
  • Rabu, 14 Feb 2024

Ekoran daripada masalah kesihatan yang dialaminya itu, Amirul yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2021 kini terlantar dan mengalami lumpuh di sebelah badan bahagian kanan.

BARU-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan berita mengenai seorang pelajar cemerlang yang terlantar sakit berikutan saluran darah ke otak pecah.

Dalam kejadian yang berlaku pada 18 Disember tahun lalu, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, sebelum itu dijumpai pengsan di rumah sewanya di sekitar Cyberjaya, Selangor.

Dia yang penerima tajaan PETRONAS sepatutnya dijadual menamatkan pengajian A-level di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, pada Mac ini sebelum melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) pada Jun.

Ekoran daripada masalah kesihatan yang dialaminya itu, Amirul yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2021 kini terlantar dan mengalami lumpuh di sebelah badan bahagian kanan.

Mengulas mengenai kejadian itu, seorang pegawai perubatan menafikan pandangan orang ramai yang mengatakan bahawa perkara itu berlaku kesan daripada stres belajar.

BACA LAGI: Budak lelaki hampir lumpuh ditendang di kepala lepas tegur rakan sebar video lucah

WhatsApp Image 2024-02-14 at 11.32.43 AM (1)

Muhammad Amirul merupakan pelajar yang menerima tajaan PETRONAS.

Menerusi ciapan di laman X, pegawa perubatan yang menggunakan nama DoktorSamhan berkata, tiada kemungkinan sebelum ini yang direkodkan bahawa pembuluh darah pecah akibat tekanan pelajaran.

"Ramai yang mengatakan bahawa stres belajar menyebabkan pembuluh darah pecah dan seterusnya mengakibatkan keadaan adik Nazmi sekarang.

"Sebenarnya isu ini bukan disebabkan oleh terlalu stres belajar," katanya.

Menurut Dr Samhan, secara umumnya, terdapat empat keadaan yang boleh menyebabkan insiden tersebut iaitu aneurisme, tekanan darah tinggi, kencing manis dan trauma.

Bagi situasi darah tinggi, dia berkata. saluran darah seseorang individu berpotensi pecah sekiranya tekanan darah berada di tahap terlalu tinggi.

"Kalau ada masalah kencing manis, kondisi ini akan menyebabkan salur darah itu mengembang dan menjadi benjolan seperti belon yang ditiup dan menyebabkan pecah sebab salur darah itu terlalu nipis.

"Tetapi, bagi orang muda sangat jarang disebabkan oleh kencing manis atau darah tinggi," ujarnya.

Sehubungan itu, dia berkata, kemungkinan terakhir yang boleh menjadi punca kepada insiden tersebut adalah daripada aneurisme.

"Bahaya aneurisme adalah ia tidak menunjukkan apa-apa simptom dan ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Aneurisme juga boleh menyebabkan pembuluh darah pecah.

"Jadi, tekanan akibat pembelajaran tidak akan menyebabkan pembuluh darah pecah," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Geng mak nyah lagak samseng, mengamuk campak duit siap tendang pintu mall popular tengah KL

Aneurisme merupakan insiden pembengkakan seperti belon pada salur darah arteri yang menyalurkan darah ke otak akibat dinding salur darah yang lemah.

Tanda dan gejala aneurisme juga bergantung kepada lokasi dan saiz aneurisme sama ada ia berada dalam pecah ataupun tidak.

Bagi aneurisme yang tidak pecah, antara gejala yang boleh dikesan adalah mengalami sakit di atas atrau belakang sebelah mata, penglihatan kabur, kebas atau lemah separuh anggota badan, perubahan pada percakapan dan anak mata membesar.

Untuk aneurisme yang telah pecah, mereka yang mengalaminya akan menghadapi tanda seperi sakit kepala teruk yang datang secara tiba-tiba, loya dan muntah, kejang pada leher, sangat sensitif pada cahaya, pengsan serta sawan.

Faktor risiko kepada aneurisme antara lain adalah daripada sejarah keluarga terdekat, pernah mempunyai aneurisme otak, jantina dengan perempuan berisiko lebih tinggi, darah tinggi, peningkatan usia dan merokok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram