Budak lelaki hampir lumpuh ditendang di kepala lepas tegur rakan sebar video lucah


  • Tular
  • Khamis, 13 Jul 2023

Malik Elfikry dipukul hanya kerana menegur kawan sekelas lain yang dipercayai menyebarkan video lucah dalam kumpulan WhatsApp sekolah.

HATI ibu mana tidak sedih melihat anak yang dilahirkan sempurna namun terlantar di hospital selepas kepalanya ditendang seorang rakannya di sekolah.

Perkara itu dikongsikan seorang wanita menerusi Facebook milik anaknya, Malik Elfikry pada Rabu tentang kejadian tragis yang menimpa pelajar berkenaan.

Menurut wanita berkenaan yang tidak menyatakan namanya, dia mendapat berita mengenai keadaan anaknya, Malik ElFikry selepas menerima panggilan daripada warden asrama tempat anaknya belajar.

Katanya, peristiwa hitam itu bermula apabila anaknya yang merupakan ketua kelas menegur kawan sekelas lain yang menyebarkan video lucah dalam kumpulan WhatsApp sekolah.

"Mimpi buruk bagi seorang ibu apabila menerima berita yang paling ditakutkan.

"Bermula dengan panggilan daripada warden asrama menyatakan anak jadi paralyzed (lumpuh) tak dapat menggerakkan badan kerana ada budak menendang kepalanya.

"Bila dia dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans, hanya ALLAH saja yang tahu isi hati seorang ibu," tulisnya.

Namun dia berasa sangat bersyukur kerana menurut doktor, sekiranya tendangan rakannya itu terkena sedikit di bahagian bawah yang berkemungkinan boleh menyebabkan kecederaan yang lebih parah.

"Mujur ALLAH pelihara Fikry, doktor kata kalau tendangan itu kena bahagian bawah sikit, maka gelaplah dunia mama. Syukur ALLAH pelihara.

"Update terkini, Fikry sudah boleh menggerakkan tangan dan kaki. Namun ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) perlu dilakukan untuk mengesan kecederaan dalaman.

"Doakan anak saya Malik ElFikry sembuh sepenuhnya dan jauh dari segala mudarat," tulisnya lagi tanpa mendedahkan lokasi dan tarikh kejadian.

Tambah wanita berkenaan, anaknya itu juga merupakan seorang yang baik dan tidak suka akan keganasan.

"Fikry, my sweet little boy...bagi yang mengenali Fikry pasti tahu betapa anak ini tidak suka keganasan, konfrontasi dan kekerasan.

"Jiwanya penuh empati hasil didikan daripada kecil bergaul dengan gelandangan, anak-anak yatim, Orang Asli dan golongan vulnerable," tulisnya.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram