Pandelela Rinong 'diganggu', ramai susah hati, kem terjun pun ada 'tangan ghaib' macam bola sepak


  • Podium
  • Selasa, 13 Feb 2024

Pandelela mendedahkan terdapat satu 'entiti' menjadi salah satu punca kegagalan kem terjun negara. — AFP

RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong Pamg tanpa berselindung mendedahkan bahawa terdapat satu 'entiti' menjadi salah satu punca kegagalan kem terjun negara untuk meraih keputusan cemerlang pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Pandelela gagal membuat penampilan kelima di Sukan Olimpik selepas beliau dan pasangan terjunnya, Nur Dhabitah Sabri menduduki tempat ke-12 daripada 16 dalam acara 10m platform seirama wanita di Doha, yang juga peluang terakhir untuk layak ke Paris pada Julai.

Setakat ini, hanya seorang atlet terjun negara iaitu Bertrand Rhodict Lises yang mengesahkan tiket ke Olimpik Paris dalam acara 10m platform individu pada kejohanan berkenaan.

Atlet kelahiran Sarawak berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan secara langsung mengenai entiti tersebut, namun mengakui apa yang terjadi di kem terjun berkenaan berada di luar jangkaan para atlet.

Sejak pendedahan berkenaan, persoalan mengenai siapakah gerangan entiti tersebut menjadi perbincangan penyokong sukan negara sehingga pelbagai nama persatuan dan individu lain didakwa menjadi 'tangan ghaib' di sebalik kegagalan berkenaan.

BACA LAGI: Gagal raih tiket ke Olimpik Paris, nasib Pandelela bersama RTG akan diketahui

pandelela terjun

Pandelela dan Nur Dhabitah menduduki tempat ke-12 daripada 16 dalam acara 10m platform seirama wanita di Doha. — Agensi

BACA LAGI: Selesema sebelum terjun, tangisan iringi Pandelela raih pingat individu Sukan Asia selepas 13 tahun

Malah, ada juga penyokong yang terkejut bahawa entiti sebegitu rupa turut wujud dalam kem terjun berikutan campur tangan oleh 'tangan ghaib' (hidden hand) sering kali didengari dalam industri bola sepak tanah air sahaja.

"Aku ingat bola sahaja ada tangan ghaib. Terjun pun ada juga rupanya," kata peminat sukan tanah air, Muhammad Izzat.

"Yang tahu sahaja tahu cerita sebenar dalam kem penerjun negara. Buat rombakan dari semua aspek," kata peminat sukan, Lai Nozz.

"Mungkin entiti yang dimaksudkan suara-suara dari orang dalam sukan itu. Mereka ini yang buat atlet jatuh semangat," kata penyokong yang menggunakan nama akaun Facebook, Eren Yaegar.

Terdahulu, isu 'tangan ghaib' dalam arena bola sepak tanah air tercetus susulan kegagalan skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dalam kejohanan Piala AFF 2020.

Dalam pada itu, Pandelela juga tekad akan membawa masalah itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk membincangkan perkara tersebut kerana ia juga dilihat boleh menjejaskan penerjun-penerjun remaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram