[VIDEO] Wakil rakyat, MB Negeri Sembilan digesa selesai masalah jalan rosak, tiada lampu di Mantin


  • Massa
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan jalan yang rosak berhampiran perkuburan Islam di Mantin, Negeri Sembilan.

MASALAH jalan rosak di kawasan Kampung Mantin, Negeri Sembilan kini semakin membangkitkan kegusaran penduduk sekitar terutamanya ketika hujan.

Menerusi video dimuat naik di pemilik akaun TikTok @monesh, keadaan jalan yang berlubang di lokasi tersebut dikatakan menyukarkan laluan keluar dan masuk kenderaan.

BACA LAGI : 'Jalan rosak simpan untuk pilihan raya', rakyat sakit hati 'otak asyik bergegar' lalu jalan tak dibaiki

Lebih teruk lagi apabila lubang berkenaan kerap tersumbat dengan takungan air hujan sehingga menyebabkan banjir di laluan itu.

"Lubang dia tinggi, tersumbat dan air kalau hujan akan naik lebih tinggi. Kalau kereta lalu dekat kawasan terowong akan sangkut," dakwanya.

Bukan itu sahaja, pengadu juga mendakwa bahawa pengguna jalan raya terpaksa berdepan dengan masalah tiada lampu jalan di laluan utama Bukit Mantin.

Dakwanya, masalah tersebut sekali gus menjadi antara punca kebanyakan kenderaan kerap terbabas dan berlakunya kemalangan.

Justeru, dia menggesa agar pihak bertanggungjawab seperti wakil rakyat atau Menteri Besar Negeri Sembilan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Hal ini kerana, menurutnya, perkara itu bukan kali pertama disuarakan malah sudah menerima maklum balas daripada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Namun, ia didakwa masih tiada sebarang tindakan atau penambah baik yang dilakukan di lokasi tersebut.

"Saya sudah banyak kali mengangkat isu ini dan walaupun sudah terima e-mel daripada Shamsul, keadaan di sini masih sama.

"Jadi, kita harap perkara ini dapat diambil tindakan tegas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram