[VIDEO] 'Jalan rosak simpan untuk pilihan raya', rakyat sakit hati 'otak asyik bergegar' lalu jalan tak dibaiki


  • Massa
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar video menunjukkan keadaan jalan berhadapan Embok Village Steamboat, Port Dickson, Negeri Sembilan yang tidak rata.

ISU jalan rosak bukan perkara baharu di Malaysia, setiap tahun ada sahaja aduan yang dibuat, namun keadaan ini masih berlarutan tanpa penyelesaian.

Itu antara masalah yang membelenggu penduduk di Bagan Pinang, Port Dickson, Negeri Sembilan apabila mereka meluahkan jalan raya di kawasan berkenaan masih mengalami kerosakan yang serius.

Kerosakan jalan berhadapan Embok Village Steamboat dikongsikan penduduk sekitar menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok @pasportdickson baru-baru ini.

Video tersebut memaparkan terdapat banyak kesan tampalan jalan yang tidak rata di lokasi terbabit.

Individu dalam video berkenaan mempersoalkan tiada tindakan diambil pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu tersebut.

Malah katanya, banyak kemalangan jalan raya direkodkan disebabkan keadaan itu.

"Kita nak tanya satu soalan, jalan yang rosak ni bila nak siap? Sebab dah lama sangat, baru-baru ini berlaku kemalangan yang agak teruk (melibatkan) penunggang e-hailing.

"Lepas lampu trafik (pemandu) memang (bawa) laju, selekoh ni pula jalan rosak, jadi apabila turun bukit, kadang-kadang mereka akan terkeluar (laluan)," katanya.

Ujar individu tersebut, mereka sudah pun membuat aduan kepada pihak berkenaan, namun tiada sebarang tindakan lanjut yang diambil.

"Dah lama sangat dah (masalah) Ini, kita minta bagi cantik (jalan) saja. Sini selekoh, kalau kita bawa perlahan, bahaya sebab takut kereta belakang akan langgar, tetapi kalau bawa laju bergegar pula, jadi macam mana kaedahnya?" luahnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penduduk sekitar kawasan itu turut meluahkan kekecewaan apabila keluhan mereka seolah-olah tidak didengari oleh pemimpin.

"Ini betul-betul fakta, bukan auta, tapi itulah nasib kita (rakyat) marhaen ni. Bila nak raih undi kita semua, sanggup ketuk dari pintu ke pintu, janji semua melangit tapi bila dah dapat kuasa dan jawatan, hal kemudahan asas pun tak boleh nak diuruskan," tulis Khairul Anuar Salleh Anuar.

"Katanya akan dibaiki secara berperingkat. Kenapa (jalan) yang rosak tidak dibaiki dulu tapi yang elok cantik diturap? Bila penduduk tanya respon daripada Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) atau Jabatan kerja raya (JKR) untuk jelaskan situasi ini, mereka diam sahaja," kata Alzlinda Ali.

"Jalan yang elok diturapnya, yang rosak disimpan untuk pilihan raya," ujar Mohd Farid. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram