[VIDEO] Dua maut, lori ada masalah brek rempuh 4 kereta dekat lampu trafik di Cheras


  • 112
  • Rabu, 07 Feb 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan lori terbabit sebelum merempuh beberapa kenderaan di hadapannya di Lebuhraya SUKE ke arah Kajang, Selangor pada Selasa.

DUA individu maut selepas kereta dinaiki dirempuh oleh sebuah lori yang dipercayai mengalami brek berdekatan lampu isyarat di Medan Masria, Cheras, Selangor dalam kejadian pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaini Hassan berkata, kedua-dua mangsa yang maut masing-masing merupakan seorang lelaki berusia sekitar 50-an dan perempuan, 60-an.

Katanya, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, lori yang dipandu terbabit individu berusia 40-an itu sedang dalam arah Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Batu 9, Kajang.

"Sampai di lampu isyarat Medan Masria, lori terbabit disyaki mengalami masalah brek dan melanggar empat buah kenderaan di hadapannya lalu terbabas ke lereng bukit di susur naik Lebuhraya Grand Saga.

"Akibat dari kemalangan ini seorang pemandu lelaki kereta jenis Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Brek rosak dipercayai punca lori sodok kereta di lampu isyarat di SUKE

BACA LAGI: Guru maut nahas ngeri di Kota Tinggi

Rakaman insiden kemalangan tersebut turut tular di sosial media pada Rabu yang memaparkan lori terbabit dilihat terbabas apabila gagal untuk membrek selepas melintasi sebuah persimpangan lampu isyarat.

Mohd Zaini berkata, dalam kejadian tersebut, pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan manakala 3 pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, pemandu lori terbabit sudah tahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi balai polis yang berdekatan atau Pegawai Penyiasat kes Insp Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 di BSPT Kajang bagi membantu siasatan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram