SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Demikian situasi sesuai untuk menggambarkan perbuatan seorang pemilik kelab Liga Malaysia (Liga M) yang sebelum ini dilaporkan culas dalam menyelesaikan tunggakan gaji namun akhirnya menerima padah.
Memetik laporan dari Harian Metro pada Rabu, seorang pemilik kelab Liga M difahamkan bakal berdepan hukuman penjara selepas difahamkan mahkamah sudah mengeluarkan arahan terhadap individu bertaraf VVIP.
Pemilik kelab berkenaan bagaimanapun masih mendapat ihsan mahkamah sekiranya beliau berjaya melunaskan tunggakan gaji pemain dan kakitangan pasukannya yang bernilai RM1.1 juta dalam tempoh berbaki dua hari lagi.
"Kes ini adalah satu-satunya kes tunggakan gaji pemain bola di Malaysia sudah ada keputusan mahkamah. Isyarat ini menunjukkan pemilik kelab boleh didakwa dan dipenjarakan atas kesalahan tidak membayar gaji pemain.
"Difahamkan VVIP berkenaan diberikan masa sehingga esok (Jumaat) dengan syarat perlu menyelesaikan keseluruhan tunggakan babitkan nilai jutaan ringgit," memetik laporan berita berkenaan pada Rabu.
BACA LAGI: Izinkan Melaka, Sarawak sertai Liga M3, pakar persoal 3 isu utama AFL
Sarawak dan Melaka kini beraksi di saingan Liga M3.
BACA LAGI: 'Dalam masa terdekat', isu tunggakan gaji Kedah akan diketahui, tak mustahil senasib Kelantan
Hukuman yang bakal diterima oleh VVIP tersebut bukan hanya melegakan kakitangan dan pemain kelab miliknya, malah penyokong tanah air juga berharap agar ia dapat menjadi pengajaran berguna untuk pemilik pasukan yang masih degil melunaskan hutang sehingga kini.
Perbuatan pemilik culas ini semakin lama semakin dinormalisasi oleh sesetengah individu, golongan seperti merekalah yang seharusnya dilabel sebagai pembunuh bola sepak tanah air dan sepatutnya 'diharamkan' daripada menaung pasukan domestik.
"Terbaik. Setidak-tidaknya akan menjadi peringatan kepada pengurusan kepada pasukan lain," kata penyokong bola sepak tanah air, Mohamad Said.
"Sumbat seorang ke dalam jadikan contoh supaya tiada kelab yang culas bayar gaji pemain. Memang main untuk negeri tapi anak bini nak makan juga," tambah penyokong, Walid Reezwan.
Dalam pada itu, jika melihat kepada situasi semasa, kelab seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan Kelantan FC dilaporkan masih tidak menyelesaikan masalah gaji sejak musim lepas.
Namun, dua kelab yang sejak dua tahun lalu kekal berdegil enggan menyelesaikan tunggakan gaji dan akhirnya kini terjerumus ke saingan Liga M3 ialah Melaka United dan Sarawak United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram