Izinkan Melaka, Sarawak sertai Liga M3, pakar persoal 3 isu utama AFL


  • Podium
  • Sabtu, 25 Feb 2023

Sarawak United (kiri) dan Melaka FC layak beraksi dalam Liga M3 musim ini.

KERINDUAN penyokong bola sepak tempatan akhirnya terubat apabila tirai Liga Super dibuka dengan aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC.

Manakan tidak, sukan tersebut sudah menyajikan satu bentuk hiburan yang cukup mengujakan pada 2022 dengan aksi dan drama di luar padang.

Antara perkara yang sering dibincangkan ialah kemelut pengurusan yang dialami dua kelab Liga Super, Melaka United dan Sarawak United.

Perkara itu seperti tidak henti-henti dibincangkan ramai pihak apabila pemain dan staf kejurulatihan berdepan pelbagai kesan negatif, terutama tunggakan gaji serta kebajikan yang tidak dijaga.

Berdasarkan perkongsian pihak yang terkesan, mereka mengakui pelbagai tindakan drastik terpaksa diambil, termasuk menjual aset demi kelangsungan hidup.

Sebagai balasan terhadap kecuaian pihak pengurusan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bertindak menyekat penyertaan kedua-dua pasukan itu dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.

WhatsApp Image 2023-02-24 at 23.02.39

Pekan Ramli turut memberi pandangannya mengenai kelayakan Melaka FC dan Sarawak United ke dalam Liga M3.

Jadi, sebagai respons, Melaka FC dan Sarawak United memilih untuk tidak lagi beraksi secara profesional dan berada di bawah pengurusan Liga Bolasepak Amatur (AFL).

Namun, pendekatan itu sekali lagi membangkitkan kemarahan peminat setia tempatan apabila mereka sepatutnya ditempatkan di Liga M5 seperti mana pasukan-pasukan lain.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata penyokong membantah perkara berkenaan sehingga mendesak pihak bertanggungjawab untuk bertindak dengan lebih tegas.

Pandangan itu juga dikongsikan pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli yang berasakan keputusan AFL tersebut hanya akan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, terdapat tiga perkara penting yang perlu diambil kira untuk mengatakan kehadiran Melaka FC dan Sarawak United di Liga M3 adalah tidak wajar.

1. Kerap mengambil keputusan terburu-buru

Selain diberikan ruang untuk menyertai divisyen amatur itu, Melaka FC dan Sarawak United tidak dikenakan tindakan lebih berat apabila laporan mengatakan isu tunggakan gaji masih belum diselesaikan.

Bagi Pekan, kelonggaran tersebut boleh diberikan kepada kedua-dua kelab itu, namun ia dilihat masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

"Sepatutnya, seperti mana orang katakan, perlu ada tempoh bertenang atau resting period untuk memberi hukuman dan pengajaran terhadap apa yang sudah mereka lakukan," katanya.

solid24_1661343630

Isu kebajikan Sarawak United masih belum diselesaikan setakat ini.

Ketika ini, masih terdapat beberapa laporan yang mengatakan bekas pemain skuad Hang Tuah dan Ngap Sayot masih tidak menerima bayaran penuh.

Perkara tersebut pastinya cukup mengecewakan penyokong bola sepak negara yang berharap kebajikan pemain pasukan kesayangan terbela sehingga keadilan dibalas.

Oleh itu, pendapat Pekan yang berharap AFL tidak mengambil keputusan terburu-buru dilihat bersesuaian bagi memastikan orang ramai tidak terlalu berang akan hal itu.

2. Menunjukkan kelonggaran dalam proses perbincangan AFL

Menurut Pekan, sesebuah organisasi atau badan pengurusan pastinya mengadakan sesi perbincangan dalam memutuskan sesebuah langkah yang bakal diambil.

Bagi AFL, perkara berkenaan pastinya turut dilakukan, apatah lagi untuk mengenal pasti nasib pasukan yang terpalit dengan isu sedemikian.

"Kadang-kadang, apabila kita mahu melaksanakan sesebuah peraturan, kita perlu hormati proses yang sudah kita tetapkan.

"Tetapi, sekiranya kita dengan sengaja melanggarnya, ia dalam apa-apa situasi sekalipun, bukan satu perkara yang baik untuk dilakukan," katanya.

Walaupun tiada pendedahan lanjut mengenai perbincangan dilakukan AFL, terdapat kemungkinan ada pihak dengan sengaja melanggar perjanjian sehingga merugikan persatuan terbabit.

3. Menyekat perkembangan pemain amatur

Kewujudan liga amatur adalah bertujuan untuk memastikan pemain yang tidak berpeluang beraksi secara kompetetif di atas padang.

Namun, dengan hadirnya Sarawak United dan Melaka FC, ia seakan-akan menutup pintu buat mereka mempamerkan bakat yang terpendam.

PIB-FC-Juara-Liga-M3-2022

AFL sepatutnya menjadi medan pemain muda menyerlahkan bakat. Facebook/PIB FC

"Kalau sesebuah pasukan itu memang sebuah kelab profesional tetapi mereka bermain dalam liga amatur, ia perkara yang tidak adil," katanya.

Meskipun tiada lambakan pemain hasil Liga AFL ketika ini, perkembangan yang ditunjukkan saban hari memberi bayangan lebih ramai bakat bakal terserlah.

Di samping memiliki status lebih baik, kehadiran bekas pemain profesional, seperti Norshahrul Idlan Talaha bersama Harini FT memberi peluang kepada pemain muda untuk mempelajari lebih banyak ilmu mengenai bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram