'Ada kelebihan bersara awal', ramai positif Cikgu Fadli undur diri


  • Massa
  • Rabu, 07 Feb 2024

Majlis persaraan Cikgu Fadli di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor pada Selasa. — Facebook/Cikgu Fadli

SEORANG guru tular yang lantang menyuarakan kritikan dan pandangan terhadap sistem pendidikan di Malaysia dipercayai bakal menamatkan kerjayanya setelah hampir 19 tahun berkhidmat sebagai pendidik.

Menrusi hantaran dimuat naik Cikgu Fadli atau nama sebenar Mohd Fadli Mohamed Salleh di Facebooknya, dia memutuskan untuk bersara lebih awal dan tidak lagi berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Selangor pada Selasa.

BACA LAGI : 'Aku dah berhenti, dia masih usik', Cikgu Ayu menangis dakwa dibuli pegawai atasan

msg1050426791-24313

Antara gambar kenangan yang dikongsikan oleh Cikgu Fadli. — Facebook/Cikgu Fadli

BACA LAGI : Remaja OKU kena buli cikgu ada 'trust issue', perlu masa pulih trauma

Dalam hantaran itu, dia sempat berkongsi beberapa gambar kenangan bersama anak-anak muridnya ketika mengadakan sambutan majlis persaraannya.

"Setiap yang bermula pasti berakhir jua. Terima kasih semua atas memori indah sepanjang bersama.

"Izinkan daku mengundur diri," tulisnya.

Pada masa sama, dia turut menjelaskan bahawa keputusan untuk bersara awal bukan kerana kecewa dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Malah, ia dikatakan tindakan bagi menghormati pihak tertentu selepas pernah beberapa kali kerap menjadi bualan ramai berhubung kritikannya terhadap dunia pendidikan.

Menurutnya, walaupun sudah tidak bergelar guru, namun suaranya tentang pendidikan tetap ada.

Sementara itu, rata-rata warganet juga dilihat sedih dengan pengumuman yang dibuat itu kerana menganggap Cikgu Fadli seorang guru yang berani menegakkan kebenaran.

Malah, di sebalik kecaman yang diterima Cikgu Fadli sebelum ini juga tidak menghalang orang ramai daripada terus menyokongnya.

Mengulas lanjut, ada juga yang melihat perkara tersebut daripada sudut positif dan menyifatkan bahawa keputusan bersara awal lebih baik untuk guru itu.

"Ada kelebihannya. Beliau boleh bersuara tentang sistem pendidikan negara dengan lebih nyaring. Tanpa rasa terikat sebagai penjawat awam," komen warga Facebook Inspektor Mazlan.

Dalam pada itu, warga maya lain turut mendoakan kejayaan Cikgu Fadli dalam bidang yang lain selepas persaraannya itu.

"Semoga terus berjaya cikgu," tulis Tarmizi Solusi.

"Didoakan agar suatu hari nanti cikgu berjaya mengubahnya. Teruskan perjuangan cikgu!," tulis Zarina Kherudin.

Untuk rekod, Cikgu Fadli pernah tular pada 2022 kerana dihadapkan ke Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan kerana membuat pendedahan tentang kelemahan silibus pendidikan negara.

Dia bagaimanapun dilepaskan dan tidak dikenakan sebarang tindakan selepas didapati tidak bersalah dalam hal tersebut.

Antara kritikan lain pernah disuarakan termasuklah masalah kepadatan jadual sekolah sekali gus menyebabkan beban kepada murid untuk membawa buku teks dalam jumlah yang banyak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram