SEORANG pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang didakwa dibuli oleh guru sekolahnya baru-baru ini akan menjalani sesi terapi untuk merawat trauma yang dialaminya.
Perkembangan itu dikongsikan ahli keluarga pelajar malang tersebut menerusi laman X (Twitter) @pedoqpop pada Isnin.
Katanya, rawatan itu juga bertujuan mengembalikan semangat diri pelajar yang sedang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah di negara ini, seperti sedia kala.
"Adik aku akan jalani terapi untuk rawat trauma dia untuk kembalikan diri dia yang dulu. JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) dah tengok sendiri keadaan adik aku depan-depan.
"Jadi pegawai itu cakap, mungkin akan ambil masa untuk pulihkan adik sebab dia dah trauma sepenuhnya, dia ada trust issue dengan semua orang," katanya.
Tangkap layar pendedahan kakak kepada pelajar tersebut di laman X pada Isnin.
Ahli keluarga itu turut memaklumkan, pihak JPN sudah pun membuat lawatan ke rumah mereka bagi membincangkan tentang masalah tersebut.
Malah katanya, tenaga pengajar yang disyaki melakukan perbuatan tidak bermoral itu juga telah dikenal pasti.
"Nak update sikit. JPN dah datang rumah, mereka cakap masa tular tu, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) telefon semua JPN.
"Lepas itu JPN telefon semua PPD (Pegawai Pendidikan Daerah) negeri masing-masing. KPM minta JPN selesaikan dan kalau KPM tak berpuas hati dengan sesuatu, mereka sendiri yang akan turun (padang).
"Ayah aku pula memang dah jumpa mereka untuk failkan aduan itu sebelum tular, jadi dari situlah KPM tahu kes (berlaku di) sekolah mana.
"Belum selesai, sebab step by step tapi tidak mengapa, perlahan tapi pasti, Insya-ALLAH," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang pengguna Twitter turut tampil memberi cadangan agar keluarga pelajar berkenaan membuat susulan dengan KPM berhubung status guru tersebut.
Malah mereka juga dinasihatkan untuk mendapatkan jaminan agar pihak sekolah tidak akan melakukan perbuatan yang sama ke atas pelajar tersebut selepas ini.
"Saya harap keluarga anda dan sekolah memberi sokongan sepenuhnya kepada adik anda untuk membina balik kesihatan mentalnya.
"Follow up dengan KPM untuk status cikgu dan minta jaminan daripada guru besar adik tidak dibuli lagi bila dia balik ke sekolah," ujar Ooi Beng Cheang.
Tangkap layar pendedahan kakak kepada pelajar tersebut di laman X sebelum ini.
Sebelum ini, menerusi ciapan di @pedoqpop, seorang wanita mendedahkan bahawa adiknya yang berstatus OKU didakwa sering menjadi mangsa buli seorang guru wanita sehingga mengalami trauma.
Kakak remaja tersebut nekad mendedahkan perkara tersebut di laman sosial selepas mendapati trauma adiknya menjadi semakin teruk.
“Adik aku buat pembedahan mata dan tidak boleh berjemur atau kena panas namun dipaksa oleh guru untuk bersukan meskipun dah bagi surat doktor. Kesannya, setiap kali dia buat aktiviti, pihak sekolah telefon suruh ambil dia sebab mata dia berdarah," katanya.
Dalam masa sama, wanita itu turut mendakwa guru tersebut sering menengking dan memulaukan adik perempuannya yang berada di tingkatan dua hingga dia enggan lagi ke sekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram