Beban guru bertambah, ibu bapa tertekan jika teruskan 'tradisi' majlis graduasi


  • Massa
  • Khamis, 01 Feb 2024

DI sesetengah sekolah, kos penganjuran graduasi menjadi lebih tinggi ekoran daripada pemilihan lokasi. — Agensi

ISU penganjuran majlis graduasi di peringkat sekolah sememangnya sudah menjadi isu hangat dalam kalangan ibu bapa sejak beberapa tahun lalu.

Malah pada penghujung 2023, ia turut mendapat reaksi daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Trend tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ibu bapa selepas ia didakwa memberikan tekanan kewangan terhadap sesetengah ibu bapa.

Ini kerana penganjuran majlis sedemikian sering kali memerlukan kos yang tidak sedikit dengan pihak sekolah kebiasaannya akan meminta bayaran daripada ibu bapa bagi menanggung kos pelaksanaannya.

Pada masa sama, di sesetengah sekolah, kos berkenaan menjadi lebih tinggi ekoran daripada pemilihan lokasi.

Malah terdapat juga beberapa insiden menyaksikan pihak sekolah menjalankan majlis berkenaan dengan menyewa di dewan hotel atau tempat yang agak mewah.

Mengulas mengenai isu tersebut, Fadhlina dalam kenyataannya pada Disember lalu berkata, pihak sekolah harus berbincang dengan ibu bapa sebelum menganjurkan majlis termasuk graduasi pelajar di hotel atau tempat mewah.

Menurutnya, meskipun sekolah mempunyai autonomi bagi mengadakan sebarang majlis, langkah itu perlu dilaksanakan bagi mengelakkan bebanan terhadap ibu bapa.

Dalam pada itu, ketika membincangkan mengenai isu tersebut, terdapat warganet yang mencadangkan agar penganjuran majlis graduasi dimansuhkan terus daripada dibenarkan untuk dilaksanakan di sekolah.

Untuk rekod, penganjuran majlis graduasi bukanlah program wajib yang ditetapkan oleh KPM untuk dilaksanakan di sekolah.

Malah, KPM menerusi satu pekeliling yang dikeluarkan pada Disember 2023 lalu menetapkan bahawa penyertaan murid adalah secara sukarela dan pihak sekolah tidak dibenarkan untuk memaksa murid menghadiri majlis graduasi.

BACA LAGI: Buat majlis graduasi sekolah di hotel sampai bebankan ibu bapa, guru kongsi sebab pentingnya hadir mesyuarat PIBG

Interview session with Education Minister Fadhlina Sidek for Teacher’s Day in her office at Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada masa sama, perkongsian daripada beberapa warganet dipercayai guru turut memaklumkan bahawa terdapat sekolah yang sememangnya langsung tidak melaksanakan majlis berkenaan.

Sehubungan itu, berikut Majoriti gariskan empat hujah yang menyokong supaya majlis graduasi itu dimansuhkan daripada aktiviti di sekolah di dalam negara.

1. Cukup hanya majlis Anugerah Kecemerlangan

Rata-rata warganet berpandangan bahawa acara graduasi di peringkat sekolah adalah yang majlis sama sahaja seperti majlis anugerah kecemerlangan yang diadakan setiap hujung tahun.

Disebabkan itu, pelaksanaannya dilihat sebagai satu pembaziran memandangkan kedua-duanya memiliki objektif yang hampir serupa iaitu meraikan pelajar.

Pandangan ini dikongsikan sendiri oleh seorang individivu dipercayai guru menerusi ciapannya di laman X.

"Sebagai cikgu yang pernah ajar sekolah harian biasa lebih 10 tahun, ikhlas cakap memang tak berkenan dan terasa amat tak sesuai adanya majlis graduasi ni.

"Cukuplah sekadar majlis akhir tahun di sekolah seperti Anugerah Kecemerlangan yang lebih layak diraikan," tulis @Nabil_Malaysia.

2. Terap nilai tidak baik kepada murid

Dalam pada itu, penganjuran majlis graduasi disifatkan memberi contoh tidak baik kepada pelajar mengenai kepentingan untuk memastikan pencapaian pendidikan terbaik di sekolah.

Ini kerana menurut mereka, berbanding acara Anugerah Kecemerlangan yang melibatkan pelajar dengan pencapaian terbaik, program graduasi melibatkan semua pelajar termasuk mereka yang tidak lulus subjek.

"Ada yang tak lulus pun subjek wajib seperti Bahasa Melayu dan Sejarah boleh juga sarung baju graduasi sama-sama. Lain la kalau tegas letak syarat yang lulus dua subjek tu masa trial je ke boleh graduasi.

"Ada juga motif nak suruh rajin-rajin belajar," tulis adahunnylove.

Pada masa sama, sekiranya objektif penganjuran berkenaan adalah untuk meraikan tamat tempoh belajar, mereka beranggapan adalah mencukupi dengan hanya mengadakan acara jamuan di sekolah pada setiap akhir tahun.

3. Tambah beban guru

Dalam pada itu, penganjuran majlis sedemikian turut memberi beban tambahan kepada guru yang pastinya menjadi pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan majlis terbabit.

Ini kerana untuk menjalankan acara ini, guru akan terlibat sepenuhnya dalam proses yang berkemungkinan memakan masa bukan sahaja berminggu, tetapi berbulan-bulan sebelum pelaksanaannya.

BACA LAGI: 'Ini tahap pendidikan kita', netizen bingung soalan tak masuk akal perlu dijawab pelajar sekolah

file61onmeeqrcg7v3l9ncj

Sesetengah pihak berpendapat adalah mencukupi sekadar mengadakan majlis Anugerah Kecemerlangan akhir tahun sekiranya mahu meraikan pelajar di sekolah. — Gambar hiasan

Ia meliputi keperluan untuk menempah baju, dewan, persediaan pentas dan juga perancangan aktiviti pada hari kejadian.

Tindakan ini dilihat bertentangan dengan usaha KPM yang ketika ini membuat pelbagai langkah bagi mengurangkan beban tugas guru daripada tanggungjawab yang bukan bersifat pengajaran.

4. Beri tekanan kepada ibu bapa tak berkemampuan

Sekiranya guru dibebankan dengan tugas tambbahan, ibu bapa pula akan berdepan dengan tekanan kewangan bagi menyediakan kos untuk melaksanakan majlis graduasi.

Seperti yang diketahui, tidak semua ibu bapa khususnya di sekolah kerajaan terdiri daripada mereka yang memiliki pendapatan dikategorikan sebagai orang senang.

Disebabkan itu, penganjuran majlis sedemikian bakal hanya memberikan tekanan tidak perlu kepada ibu bapa lebih-lebih lagi ia tidak mempunyai kaitan secara langsung terhadap proses pembelajaran yang merupakan objektif utama mereka hadir ke sekolah.

Malah, situasi ini jika tidak ditangani dengan baik juga bakal mendedahkan murid terhadap isu jurang pendapatan antara ibu bapa di sekolah sehingga mewujudkan rasa tidak yakin diri dalam kalangan pelajar khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram