SEORANG lelaki warga asing maut selepas dirempuh sebuah kenderaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah, Perak pada Ahad.
Video kemalangan ngeri itu juga sempat dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam di lokasi kejadian.
Melalui maklumat data yang tertera pada dashcam tersebut, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.14 malam Ahad.
Video berkenaan turut tular di media sosial selepas ia dimuat naik oleh seorang individu di laman Facebook DashCam Owners Malaysia pada Isnin.
"Allahuakbar, kejadian selepas RNR Tapah. Tak pasti orang (mangsa) datang dari mana, tetapi sebelah kiri nampak macam lori E**. Semoga yang baik-baik untuk mangsa," tulisnya.
Melalui video yang dikongsikan, mangsa dilihat datang dari arah kanan lebuh raya tersebut sebelum dia dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Impak dari rempuhan tersebut menyebabkan mangsa terpelanting ke kiri jalan.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri mengesahkan menerima laporan kemalangan maut itu kira-kira pukul 9.20 malam.
Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan seorang pejalan kaki. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat.
"Pegawai imigresen telah hadir ke hospital itu mengesahkan mangsa merupakan salah seorang tahanan yang melarikan diri dari depot,” katanya memetik laporan media tempatan.
Pada Khamis lalu, seramai 131 warga asing melarikan diri dari blok lelaki depot itu yang merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram