"DARIPADA umur 11 tahun sampai 80 tahun masih kena mencangkul jalan untuk kemudahan cucu-cucu pergi ke sekolah."
Begitulah luahan hati seorang warga emas apabila dia dan rakan-rakan seusianya masih terpaksa melakukan kerja-kerja membaik pulih jalan untuk kemudahan penduduk kampung.
Melalui video yang dimuat naik oleh Wan Rosli Wan Stapa pada Sabtu di Facebook miliknya memaparkan beberapa penduduk lelaki sedang mencangkul tanah bagi meratakan jalan tersebut.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di sebuah kampung di sekitar Jerantut, Pahang.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah
BACA LAGI: Aplikasi Waze mampu elak tragedi tertinggal anak dalam kereta
Katanya lagi, sudah menjadi kebiasaan penduduk di kawasan tersebut bergotong-royong memperbaiki jalan yang daif berkenaan.
Video tersebut turut tular dan menjadi bualan ramai di media sosial.
Berdasarkan perbualan menerusi ruangan komen, terdapat segelintir warga maya dipercayai penduduk kampung sama meluahkan kekecewaan apabila mendapati kemudahan jalan asas di kawasan tersebut masih tiada sebarang penambahbaikan.
"YB (Yang Berhormat) silih berganti tapi akhirnya kemudahan asas pun tak boleh bagi.
"Janji macam petik bulan bintang, alih-alih orang kampung juga yang usahakan kemudahan asas. Dari tahun 70-an kita mencangkul.
"Lepas itu terpaksa minta derma wang ringgit daripada warga netizen dan orang kampung, jadi apa kerja YB? Tak m******k ke dalam Parlimen?" tulis pengguna akaun dengan nama Tasik Kenyir House Boat.
Sementara itu, Wan Ismail Wan turut mempertikaikan fungsi ahli politik yang bertanggungjawab atas kawasan berkenaan.
"Kasihan orang kampungku, berusaha untuk keselesaan sedangkan ini adalah tugas YB. Mana wakil rakyat, silap pangkah dapat..." ujarnya.
Belum ada sebarang kenyataan balas YB terlibat berhubung dakwaan itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram