Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.
SKRIN gergasi di Stadium Al Thumama memaparkan keputusan Bahrain 1 Jepun 3. Jauh daripada berasa kecewa, ketua jurulatih skuad Muharabi (Pejuang) Dilmun itu, Juan Antonio Pizzi, sebaliknya masih mampu menghela nafas lega yang pasukannya terhindar daripada dibelasah lebih teruk.
Pizzi, yang diingati atas kejayaan mengemudi Chile menjuarai Copa America 2016 dan membawa Arab Saudi ke Piala Dunia 2018 di Rusia, lebih daripada sedia mengakui jurang luas di antara Bahrain dan Jepun, lawan yang dianggapnya pilihan hangat untuk muncul juara kali ini.
“Pasukan Jepun memanfaatkan sepenuhnya ruang dalam separuh kedua. Malah, kami boleh tewas dengan perbezaan jaringan lebih besar. Idea kami ialah untuk menafikan mereka ruang berkenaan dan bergantung kepada serangan balas pantas tapi ia tidak semudah itu.
“Ada sedikit ketegangan sebelum kami turun menentang Jepun, begitupun kami masih mampu untuk mengawal permainan sehingga minit ke-35. Tapi dengan tekanan yang digandakan mereka, kami tak mampu lagi menanganinya,” kata Pizzi.
“Ia satu perlawanan sukar – mereka lebih kuat, lebih baik daripada kami secara teknijal dan fizikal. Mereka memiliki pemain-pemain dengan kemahiran individu yang hebat.
“Jepun juga memiliki jurulatih yang sama selama beberapa tahun (sejak 2018). Malah, pemain gantian mereka juga memiliki kualiti yang sama dengan kesebelasan utama,” katanya lagi.
Senada dengannya, ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu, turut melaungkan amaran kepada pasukan-pasukan lain bahawa Samurai Biru berupaya untuk melakukan lebih baik lagi sejurus mengesahkan tempat dalam suku akhir.
Moriyasu berjaya membawa Jepun pergi jauh dalam Piala Asia 2023. — Agensi
Ini selepas juara empat kali itu mengukir satu lagi kemenangan bermakna di sebalik kegemuruhan pada pertengahan separuh kedua apabila gol sendiri Ayase Ueda memberikan lawan sedikit harapan selepas mendahului menerusi gol-gol Ritsu Doan dan Takefusa Kubo.
“Kemenangan ini adalah hasil usaha pemain-pemain dan staf kejurulatihan dalam latihan. Kami memiliki rehat enam hari dan berlatih bersungguh-sungguh dan hasilnya dapat dilihat ketika berdepan Bahrain,” kata Moriyasu.
“Kami melihat semula permainan kami selepas menentang Indonesia (menang 3-1 pada 24 Januari) dan membetulkan beberapa perkara hingga kami bermain lebih baik menentang Bahrain. Saya tidak fikir prestasi kami sudah capai 100 peratus. Kami masih boleh terus meningkat dalam perlawanan mendatang,” tambahnya.
Jepun menguasai permainan sepanjang separuh pertama dan mendahului apabila Doan menyudahkan lantunan selepas satu percubaan terdahulu Seiya Maikuma terkena tiang gol.
Bintang Real Sociedad, Kubo, menggandakannya selepas tiga minit permainan bersambung dalam babak kedua dengan memanfaatkan kesilapan Hazza Ali membuat hantaran ke belakang. Selepas isyarat ofsaid, gol itu bagaimanapun disahkan oleh semakan video bantuan pengadil (VAR).
Namun, satu kekeliruan di antara Ueda dan penjaga gol, Zion Suzuki, susulan tandukan Sayed Baqer pada minit ke-64 menyaksikan Bahrain merapatkan kedudukan kepada 1-2.
BACA LAGI: CEO Sang Kenari sah letak jawatan, fans resah siapa bakal duduk kerusi ‘panas’
Jepun menewaskan Bahrain 3-1 di pusingan 16 pasukan terbaik. — Agensi
Ueda kemudian menebusnya dengan satu sepakan padu di celah kaki penjaga gol, Ebrahim Lutfalla, bagi keputusan mutakhir 3-1 yang mengesahkan kemaraan Jepun ke pusingan berikutnya.
“Kami melakukan dengan baik untuk bertahan terhadap Bahrain sepanjang perlawanan selain mengutip bola kedua dengan cukup berkesan.
“Kami melaksanakan apa yang kami rancang untuk lakukan sebelum perlawanan. Sudah tentu bukan semuanya sempurna dan saya akui itu tapi saya fikir kami boleh terus memperbaikinya dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” kata Moriyasu.
Keputusan itu menjadi penamat kepada penyertaan Bahrain dalam kempen Piala AFC Qatar 2023 sambil Pizzi mengharapkan pasukannya dapat terus membina daripada prestasi mereka apabila pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia Arab Saudi 2027 berlangsung bulan depan.
“Kami tetap berpuas hati dengan prestasi kami. Sejak saya mula melatih pasukan ini (pada Julai 2023), kami telah bermain perlawanan-perlawanan menentang lawan yang kuat.
“Pemain-pemain telah menunjukkan kemajuan dan cara kami bermain juga baik. Kami belajar daripada setiap perlawanan dan kini mengalihkan tumpuan kepada kempen kelayakan Piala Dunia,” kata jurulatih kelahiran Argentina berusia 55 tahun itu.
Seterusnya dalam suku akhir, Jepun akan menghadapi Iran, yang menyingkirkan Syria 5-3 dalam penentuan sepakan penalti selepas tambahan masa berkesudahan dengan kedudukan 1-1 di Stadium Abdullah bin Khalifa awal hari ini.
Moriyasu juga tidak terlalu bimbangkan hakikat bahawa pasukannya gagal mengelak daripada dibolosi dalam setiap perlawanan dalam kejohanan ini setakat ini.
“Memang benar kami bolos satu gol setiap kali (Vietnam 4-2, Iraq 1-2, Indonesia 3-1, dan Bahrain 3-1). Setiap lawan yang kami hadapi akan menganalisis permainan kami dan cuba mengeksploitasi kelemahan kami,” kata ketua pasukan, Wataru Endo.
"Saya tahu kami perlu memperbetulkan keadaan ini. Kami perlu memberi sepenuh tumpuan sepanjang 90 minit.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram