Buat majlis graduasi sekolah di hotel sampai bebankan ibu bapa, guru kongsi sebab pentingnya hadir mesyuarat PIBG


  • Massa
  • Rabu, 31 Jan 2024

Terdapat sekolah didakwa menganjurkan majlis graduasi di hotel bertaraf lima bintang sehingga membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan. — Agensi

BARU-baru ini, tular sekali lagi mengenai dakwaan berlaku penganjuran graduasi sekolah yang diadakan di hotel mewah sehingga membebankan ibu bapa.

Isu tersebut tersebar selepas ia didedahkan sendiri oleh seorang ibu yang juga pelakon, Adrea Abdullah yang berkongsikan pengalaman dan pandangannya di Facebook.

Menerusi klip tersebut, beliau melahirkan kehairanan terhadap keputusan pentadbir sekolah tertentu yang didakwanya memilih tempat yang mewah dan bertaraf hotel lima bintang untuk mengadakan majlis graduasi sekolah.

Dakwa, tindakan tersebut sememangnya memberikan bebanan kewangan tidak perlu terhadap ibu bapa yang dipercayai terpaksa mengeluarkan belanja mencecah lebih RM200 hanya bagi tujuan berkenaan.

Ujarnya, keputusan berkenaan sememangnya memberikan masalah kepada ibu bapa terutamanya mereka yang kurang berkemampuan.

BACA LAGI: Siapa selepas Muhyiddin? Azmin Ali antara 3 nama berkarisma jadi calon Presiden Bersatu

Perkongsian Adrea itu ternyata menarik reaksi orang ramai yang rata-ratanya bersetuju terhadap isu yang dibangkitkan.

Setakat laporan ini ditulis, perkongsian video berkenaan sudah mendapat lebih dua juta tontonan dan 17,000 reaksi di ruangan komen.

Susulan daripada itu, terdapat juga individu dipercayai guru tampil memberikan pandangan dari sudut pandang warga pendidik berhubung isu berkenaan.

Menerusi ciapan di laman X, SriYusop berkata, penganjuran acara sedemikian bukanlah menjadi sesuatu yang disukai oleh warga guru.

Ini kerana bagi melaksanakannya, warga pendidik perlu mengusahakan pelbagai perkara yang di luar daripada tanggungjawab mereka mengajar di kelas.

"Kami pun tak mahu buat. Tempah venue. Buat sijil. Sewa jubah. Dobi jubah. Order katering. Buat photobooth. Print gambar sampai 300 keping. Pergi event pukul 7 pagi, kemas dan balik pukul 4 petang.

"Kalau boleh kami nak mengajar saja. Mansuhkan. We'll never speak of it (Tapi kami tak pernah luahkan perkara ini)," katanya dalam perkongsian pada Isnin.

BACA LAGI: Sultan Ibrahim ditabal Agong Ke-17, ini 3 fakta menarik mengenai Seri Paduka Baginda

Menerusi satu rantaian ciapan sama, SriYusop turut mengakui bahawa terdapat sesetengah sekolah yang mengenakan bayaran graduasi yang agak tinggi.

Ujarnya, situasi itu juga memberikan tekanan kerja terhadap guru yang perlu memastikan majlis berkenaan dilangsungkan untuk murid-murid.

"Ia menambah lagi beban kerja mereka (guru) yang sudah besar. (Ibu bapa) Sila hadiri mesyuarat PIBG (Persatuan) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan suarakan. Biasanya, keputusan 'hari graduasi' diputuskan semasa mesyuarat tahunan PIBG," ujarnya.

Untuk rekod, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Disember tahun lalu mengingatkan pihak sekolah mengadakan perbincangan terlebih dulu bagi mendapatkan persetujuan ibu bapa sekiranya mahu mengadakan majlis graduasi di hotel atau tempat mewah.

Katanya, meskipun pihak sekolah sememangnya diberikan autonomi untuk membuat sebarang majlis, perbincangan lanjut perlu dilakukan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram