SEORANG kanak-kanak perempuan didakwa mengalami kecederaan selepas digigit seekor anjing dalam satu kejadian di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang pada Selasa.
Difahamkan kejadian itu berlaku di salah sebuah kawasan perumahan di situ namun tidak dinyatakan lokasi sebenar.
Melalui data yang dipamerkan dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), insiden itu berlaku pada pukul 7.27 pagi.
Video tersebut turut dimuat naik di media sosial pada hari yang sama dan melalui rakaman yang dikongsikan, kelihatan mangsa pada mulanya berjalan bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sekolah.
Mangsa yang melalui sebuah rumah secara tiba-tiba diserang oleh seekor anjing sehingga terjatuh.
BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah
BACA LAGI: [VIDEO] Drama pemandu Singapura, warga emas sengaja buat-buat jatuh konon ditumbuk
Lebih malang lagi, haiwan peliharaan tersebut terus menyerang mangsa walaupun dia cuba melarikan diri. Sementara itu, rakan mangsa yang ketakutan dilihat menyembunyikan diri di sebalik belakang sebuah kenderaan.
Turut dilihat seorang wanita dipercayai pemilik anjing berkenaan cuba menangkap anjing peliharaan tersebut namun gagal.
Pada masa sama, seorang wanita yang menunggang sebuah motosikal dilihat terus bergegas ke tempat kejadian sebelum seorang lelaki datang membawa sebatang kayu untuk menghalau haiwan tersebut.
Mangsa dan rakannya kemudian dibawa beredar dari tempat kejadian menggunakan motosikal.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram