Siapa selepas Muhyiddin? Azmin Ali antara 3 nama berkarisma jadi calon Presiden Bersatu


  • Politik
  • Rabu, 31 Jan 2024

Muhyiddin (depan, dua kiri) dijangka akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden Bersatu dalam pemilihan parti tahun ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal lagi.

PERKEMBANGAN politik semasa negara ketika ini menyaksikan terdapat beberapa parti kini didakwa berdepan dengan masalah dalaman.

Antara yang menjadi perhatian tentunya isu dihadapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), iaitu parti keempat memiliki kerusi Parlimen terbanyak di Dewan Rakyat melalui 25 kerusi dimenangi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beberapa media baru-baru ini melaporkan mengenai dakwaan berlakunya pergolakan dalam membabitkan isu keyakinan terhadap kepimpinan parti berkenaan.

Perkara itu timbul susulan daripada perkembangan politik yang menyaksikan seramai sekurang-kurangnya enam ahli Parlimennya yang berpaling tadah dan bertindak memberikan sokongan terbuka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Situasi itu dikatakan menggugat keyakinan akar umbi terhadap kemampuan kepimpinan parti yang ketika ini diterajui oleh Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengumumkan pada 24 November 2023 bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan yang akan berlangsung pada tahun ini.

Kenyataan tersebut dibuat semasa beliau memberikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang media sehari selepas itu kemudiannya menarik balik hasrat tersebut.

Katanya, ketetapan itu dibuat selepas mengambil nasihat daripada isterinya yang mengatakan parti masih memerlukan beliau.

Dengan keputusan tersebut, kerusi Presiden Bersatu dijangka kekal disandang Muhyiddin selama sekurang-kurangnya satu penggal akan datang.

Namun, perkembangan tersebut juga mewujudkan satu lagi persoalan baharu mengenai hala tuju kepimpinan Bersatu terutamanya melibatkan bakal penggantinya.

Justeru, berikut Majoriti senaraikan tiga pemimpin yang berpotensi menjadi calon menggantikan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu:

1. Radzi Jidin

Education Minister Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin presenting his press conference on PN 100 days. — YAP CHEE HONG/The Star

Naib Presiden Bersatu, Datuk Radzi Jidin.

BACA LAGI: Dari serpih menjadi debu, Bersatu perlu kekang 3 cabaran demi kekal relevan

Jika mengikut hierarki parti, Datuk Radzi Jidin selaku Naib Presiden Bersatu dilihat merupakan antara calon yang dilihat berpotensi untuk menyandang jawatan selaku Presiden Bersatu.

Beliau juga dilihat memiliki kelebihan berbanding dua lagi individu yang mengisi kepimpinan tertinggi Bersatu ketika ini iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Selain daripada pernah memegang jawatan Menteri Kanan semasa pentadbiran Muhyiddin, Radzi juga pada waktu ini merupakan Ahli Parlimen Putrajaya, iaitu satu kerusi yang disifatkan agak signifikan di dalam politik negara.

Bagi pemerhati politik negara,kerusi tersebut yang sebelum ini yang secara tradisinya menjadi milik Barisan Nasional (BN) dikatakan memberikan gambaran mengenai tahap sokongan penjawat awam terhadap Kerajaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Radzi, 46, memenangi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi, sekali gus menewaskan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sebelum itu memegang kerusi berkenaan selama empat penggal berturut-turut sejak 2004.

Dalam pada itu, Radzi sebagai pemimpin dengan latar belakang luar daripada identiti politik lama juga dilihat mampu memberikan dimensi baharu terhadap kepimpinan Bersatu sekiranya dipilih sebagai Presiden.

Pengalamannya sebagai profesional di dalam bidang akademik anak kelahiran Ketereh, Kelantan itu membolehkannya tidak terbeban dengan imej toksik yang sekian lama membelenggu politik negara.

Untuk rekod, Radzi mula terlibat secara aktif di dalam politik domestik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan menyertai Bersatu dan menjadi calon di kerusi Parlimen Ketereh.

Bagaimanapun, percubaan pertamanya itu menyaksikan beliau tewas di tangan Tan Sri Annuar Musa yang ketika itu bersama Umno.

Pada tahun sama, beliau kemudiannya dilantik sebagai Senator.

Sebelum menyertai Bersatu, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi pernah bersama terlibat bersama Umno sebagai Pengerusi Kelab Umno Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, kelebihan yang dimiliki Radzi itu juga boleh menjadi satu kelemahan buatnya khususnya dalam membina sokongan dan pengaruh terhadap daripada akar umbi parti.

Ini kerana lazimnya, kedua-dua ciri tersebut hanya dimiliki oleh pemimpin yang sudah lama berkecimpung dalam politik sesebuah parti.

2. Hamzah Zainuddin

Interview with Datuk Seri Hamzah Zainuddin. —SAMUEL ONG/ The Star

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

BACA LAGI: Ahli Parlimen Tanjong Karang jadi wakil Bersatu ke-6 sokong Anwar

Datuk Seri Hamzah Zainuddin merupakan antara pemimpin pembangkang yang mempunyai pengalaman cukup lama dalam politik negara.

Kredibiliti yang dimilikinya itu juga membuatkan beliau yang merupakan Setiausaha Agung Bersatu itu dipilih untuk memegang tanggungjawab selaku Ketua Pembangkang di Parlimen.

Disebabkan itu, adalah tidak pelik sekiranya nama beliau turut dicanang sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Muhyiddin sekiranya pemimpin itu membuat keputusan untuk berundur.

Malah, dalam khabar angin mengenai pergelutan yang berlaku dalam kepimpinan Bersatu baru-baru ini, nama Hamzah juga dikatakan menjadi antara yang cuba mencabar kedudukan Muhyiddin.

Sama seperti Radzi, Hamzah, 66, juga pernah memegang jawatan Menteri Kanan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Malah sebelum menyertai Bersatu, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Larut selama empat penggal turut pernah memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di bawah pentadbiran BN.

3. Azmin Ali

Dato' Seri Azmin Ali's visit to Menara Star, Petaling Jaya.

Ahli MPT Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Seorang lagi pemimpin besar yang dicanang mampu menjadi pengganti Muhyiddin ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sama seperti Hamzah, beliau juga bukan dalam kelompok pemimpin yang bersama-sama menubuhkan Bersatu pada 2016.

Ini kerana bekas Ahli Parlimen Gombak itu hanya menyertai Bersatu selepas berlakunya Langkah Sheraton pada 2020 apabila beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun, kewibawaan yang dimiliki Mohamed Azmin, 59, selaku pemimpin bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ini kerana selain pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau juga diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Kanan dalam beberapa pentadbiran terdahulu.

Ia termasuk jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika tempoh kerajaan Pakatan Harapan selepas PRU14 dan Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) semasa tempoh pentadbiran Muhyiddin.

Mohamed Azmin juga mempunyai kedudukan agak tinggi sebelum meninggalkan PKR dengan menyandang jawatan selaku Timbalan Presiden parti, iaitu jawatan kedua tertinggi dalam PKR.

Pada masa sama, perlu diingatkan bawah beliau yang juga ADUN Hulu Kelang juga merupakan antara pemimpin utama PKR yang membawa parti itu mengharungi musim sukar terutamanya sejak awal penubuhannya pada 2003 selaku Naib Presiden parti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram