
PENYOKONG tegar Harimau Malaya, Derrick Gan yang juga dikenali sebagai Abang Rambut Perang tampil membidas kritikan yang dilemparkan oleh warga maya ke atasnya.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya pada Selasa, dia memuat naik satu tangkap layar pengguna media sosial yang mempertikaikan tindakan beberapa pihak menghadiahkan motosikal kepadanya.
"Boleh seseorang pastikan sama ada dia (Derrick) ini memang orang susah? Sebab saya tidak rasa dia macam itu," tulis netizen terbabit.
Derrick kemudian menegaskan bahawa dia sama sekali tidak pernah mengakui dirinya datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan.
"Pernahkah saya menyebut bahawa saya orang susah? Pernahkan saya menyuruh jurukamera untuk merakam diri saya?
"Adakah motosikal itu diberikan kerana saya sendiri yang memintanya? Siapa sangka saya akan menjadi tular?" soal lelaki berusia 30 tahun itu.
Tangkap layar pengguna media sosial yang mempertikaikan status ekonomi Derrick. — Facebook/Derrick Gan
Tegasnya lagi, sebarang kata-kata yang bukan datang daripada mulutnya berisiko menjadi sesuatu yang bersifat konspirasi.
Namun, Derrick menganggap situasi itu adalah harga yang perlu dibayar atas populariti yang diraihnya secara tidak sengaja.
"Saya menerima apa sahaja yang dikatakan kepada saya sama ada ia positif atau negatif," ujarnya.
Anak jati Bandar Hilir, Melaka itu memberitahu bahawa dia bersedia menerima mana-mana pihak yang berniat untuk menumpang glamornya, dengan syarat kerjasama tersebut dapat memberi impak positif kepada masyarakat.
Antaranya, kerjasama tersebut termasuklah menjalankan peraduan atau menghadiahkan produk dan sebagainya.
"Ambil peluang ini untuk mempromosikan barangan dan jenama anda, dalam masa sama anda dapat membantu golongan memerlukan, lebih daripada saya," katanya.
Derrick menjadi bualan ramai selepas kisahnya sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan akhir Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Qatar tular di media sosial.
Bagaimanapun di sebalik penghargaan yang diberikan kepadanya, Derrick mengakui, kredit seharusnya diberikan kepada semua penyokong yang berada di dalam stadium berkenaan khususnya Ultras Malaya.
"Saya pernah katakan sebelum ini dan saya akan mengatakannya sekali lagi, seorang individu tidak boleh membuat perbezaan, (sebaliknya) semua rakyat yang hadir di stadium yang menyatukan kita semua rakyat Malaysia," tuturnya lagi.
Sebelum ini, nama Derrick tular selepas dia sanggup menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan akhir Kumpulan E antara Malaysia menentang Korea Selatan saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Qatar baru-baru ini.
Setakat ini, difahamkan dia telah ditawarkan sekurang-kurangnya lima buah motosikal daripada beberapa individu dan syarikat terkemuka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram