'Saya bantu Derrick Gan sebagai tanda sokong Malaysia', pemilik kedai capai target hadiahkan Honda RS150


  • Massa
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Tangkap layar reaksi Derrick (kanan) yang tular di media sosial ketika Arif Aiman meledak gol kedua Harimau Malaya menerusi sepakan penalti ketika bertemu Korea Selatan pada Khamis. Keputusan perlawanan berakhir seri 3-3.

PEMILIK Ahmad Motorworks, Ahmad Alhafiz Najmi bakal menghadiahkan sebuah motosikal Honda RS150 kepada seorang penyokong Harimau Malaya yang menjual motosikalnya demi menyaksikan perlawanan akhir Malaysia menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Qatar.

Lelaki berumur 33 itu berkata, niatnya untuk membantu penyokong Harimau Malaya, Derrick adalah sebagai tanda sokongan kepada Malaysia memandangkan dia tidak mampu turun ke Qatar bagi menyaksikan perlawanan itu.

"Dengan cara ini, saya dapat tunjukkan sokongan saya kepada Malaysia.

"Saya tak dapat pergi ke Qatar kerana kesibukan kerja. Saya ada program Borneo Kapcai Motor Day di Sibu, Sarawak," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Dalam hati ada taman, tangisan air mata jantan berbaloi sanggup jual motor ke Qatar

Menurutnya lagi, Derrick masih belum mengetahui tentang niat murninya itu memandangkan dia belum dapat menghubungi Derrick.

"Saya ada minta pekerja saya untuk cari nombor Derrick, sebab dengar cerita dia duduk Melaka tetapi kalau dekat saya akan hantar sendiri motosikal itu. Kalau jauh saya akan hantar menggunakan towing.

"Saya akan uruskan penghantaran motosikal pada Selasa depan," katanya.

Namun, Alhafiz turut sedih apabila niat murninya itu disalahertikan oleh sesetengah pihak sehingga menerima kecaman di Facebook hanya kerana meminta netizen membantunya mencapai sasaran perkongsian hantarannya sebanyak 10,000 kali sebelum mengotakan janjinya.

Ahmad Alhafiz berkata, dia berharap rakyat di Malaysia lebih positif dan menyokong satu sama lain.

"Kita kecam orang lain, tapi kita pun tidak membantu apa-apa.

"Sebelum ini memang saya ada bagi motosikal secara percuma pada orang lain juga melalui lucky draw dan sebagainya.

"Kalau ada abang Grab kemalangan ke apa saya bagi servis percuma sahaja," katanya.

Pada Khamis, Derrick Gan tular di media sosial selepas reaksinya menangis di Stadium Al Janoub, Qatar ketika pasukan kebangsaan meledak gol kedua dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram