Pernah 'pancit' kejar Arif Aiman, pertahanan Brazil dikait ganti Shane Lowry


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Cardozo ketika mengasak Arif Aiman pada aksi ACL. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) berbelanja lagi apabila baru sahaja mengumumkan pemain import baharu mereka, Murilo Henrique bagi memperkuatkan bahagian pertahanan Harimau Selatan pada musim baharu ini.

Pemain kelahiran Brazil itu menjadi tonggak import ketiga yang dibawa masuk Harimau Selatan bagi jendela perpindahan kali ini selepas Jalil Elias dan pemain tengah kelahiran Portugal, Chico Geraldes.

Selepas pengumuman tiga import berkenaan, Harimau Selatan kini difahamkan bakal menunggu dua lagi pemain antarabangsa untuk mengukuhkan pasukan secara strategik di beberapa posisi untuk musim 2024-2025.

Antara nama pemain difahamkan akan mengisi kuota import Harimau Selatan ialah, pertahanan Brazil, Victor Cardozo yang juga merupakan bek tengah kelab gergasi Thailand, BG Pathum United sejak musim lepas.

Pemain berusia 34 tahun pertama kali menyertai BG Pathum pada musim 2020 dengan kehadirannya membantu skuad The Rabbits menjuari Liga Thailand pada tahun berkenaan dan lolos ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia (ACL).

BACA LAGI: JDT buat U-turn, rekrut semula Forestieri dan pakej 3 import baharu

Cardozo dikatakan akan menggantikan Shane Lowry yang kini tampil dengan persembahan kurang memberangsangkan sehingga khidmatnya banyak digunakan bersama JDT II.

Bukan hanya cemerlang sebagai bek tengah pasukan namun pemain bertubuh sasa itu juga berfungsi membantu jentera serangan pasukan apabila mencetak 56 gol dalam sejarah kariernya sebagai pemain bola sepak sejak musim 2016.

Statistik jaringan gol berkenaan membuktikan Cardozo seorang pemain yang rajin turun ke bawah untuk membantu serangan pasukan walaupun dia bertugas untuk menjaga benteng pertahanan.

Meskipun dikenali sebagai salah satu bek tengah cemerlang Liga Thailand, penyokong Harimau Selatan bagaimanapun kurang gemar jika Cardozo sah menyarung jersi JDT susulan usianya yang semakin lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] Korea jaring penalti tapi jersi JDT curi perhatian dunia

Selain faktor umur, penyokong juga masih teringat-ingat aksi longlai pemain berketinggian 1.94 meter itu ketika menentang Arif Aiman Hanapi ketika perlawanan ACL peringkat kumpulan pada musim lepas.

"Ini yang kena lawan dengan Arif Aiman hari itu," kata penyokong JDT, Adan Ttl.

"Umur dah 34 tahun. Semasa lawan JDT lawan BG Pathum dia biasa saja. Pancit nak kejar Arif Aiman," komen penyokong Harimau Selatan, Abu Bakar.

"Biasa badan besar pick up lambat. Hehe," tambah penyokong, Ramli Abu.

Dalam dua perlawanan berikut, Cardozo gagal untuk merantai gerakan Arif Aiman sehingga penyerang sayap JDT itu mudah mencetak tiga jaringan ketika menentang BG Pathum dalam dua aksi berkenaan.

JDT merekodkan kemenangan 4-2 ke atas BG Pathum dalam aksi pertama dan menang mudah 4-1 pada perlawanan kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Disember lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram