‘Bagi dia banyak minit’, Selangor diminta gilap bakat lepas lanjut kontrak ubi muda


  • Podium
  • Rabu, 24 Jan 2024

Izwan sudah menjaringkan empat gol bersama skuad senior Selangor.

PASUKAN Liga Super, Selangor FC berjaya mengikat penyerang muda mereka iaitu Izwan Yuslan dengan kontrak baharu.

Penyerang muda kebangsaan itu diikat oleh Gergasi Merah untuk musim 2024/2025 dengan kelab itu tidak menyatakan berapa lamakah Izwan akan kekal bersama mereka.

“Penyerang muda, Izwan Yuslan sah kekal sebagai pemain Gergasi Merah bagi musim 2024! Beliau telah berjaya menjaringkan empat gol dalam dua tahun bersama skuad senior.

“Selain itu, beliau juga merupakan penjaring terbanyak skuad Selangor FC bawah-23 tahun pada musim lalu,” kata Selangor dalam kenyataan mereka.

BACA LAGI: Syafiq Ahmad calon gred A boleh meletup ganti Shahrel Fikri

BACA LAGI: [VIDEO] Gerakan tiki-taka tak menjadi, akhirnya disudahkan sepakan ke laut

Keputusan Selangor untuk menyambung khidmat Izwan mendapat sambutan baik dalam kalangan penyokong Gergasi Merah. Hal ini kerana, mereka berpendapat, Izwan adalah salah seorang pemain muda yang perlu digilap supaya mampu menjadi bintang masa hadapan.

Akan tetapi, mereka amat berharap agar Tan Cheng Hoe akan memberikan minit permainan yang lebih berbanding sebelum ini. Dalam erti kata lain, penyokong mahukan Izwan mempunyai peranan lebih besar dalam membantu Selangor memperoleh piala musim depan.

"Jangan sia-siakan. Bagi dia banyak minit permainan, jangan hanya utamakan penyerang import. Ini peluang lahirkan penyerang Malaysia. Lagi sekali dinasihatkan, bagi dia banyak minit permainan," kata penyokong bernama Abu Zayn.

"Bagilah dia kerap turun walaupun minit ke-75. Ada potensi tu, penyudah dia pun taklah kelam-kabut," komen Mohd Alliph pula.

"Padu! Berpotensi besar untuk jadi penyerang terbaik negara. Teruskan usaha," ujar Saari Baharom.

Ada juga yang mahukan Izwan beraksi dengan cukup hebat hinggakan mampu melepasi prestasi pemain sayap sensasi, Faisal Halim.

Benarlah, besar harapan penyokong Selangor terhadap Izwan. Jika digilap dengan baik, Selangor bakal melahirkan satu lagi penyerang handalan negara.

"Cuba beri prestasi sampai Faisal Halim terpaksa duduk bangku simpanan. Kemon (ayuh) orang muda," kata penyokong bernama Haniff Mat Talib.

"Dia ni cergas dan padu. Payah nak jatuh kalau bertarung fizikal dengan pemain lawan. Bagi dia main selalu, akan jadi bintang nanti, insya-ALLAH," ujar Zul Buck pula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram