GARA-GARA tahap penyelenggaraan laluan pejalan kaki yang teruk, seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjatuh apabila kakinya dipercayai tersadung sebuah mozek yang pecah dalam kejadian dekat Dataran Pahlawan, Melaka.
Insiden tersebut tular selepas ia dikongsikan di akaun Facebook, Cerita Melaka pada Jumaat lalu yang turut memuat naik foto mangsa.
Berdasarkan gambar tersebut, mangsa dilihat terduduk dalam keadaan bajunya bermandi darah sambil menekup bahagian kepalanya dengan ais.
Foto sama juga memaparkan keadaan mozek yang pecah dan tidak diselenggara dengan baik di laluan pejalan kaki berkenaan.
Di ruangan komen, rata-rata netizen melahirkan kerisauan mereka terhadap keadaan mangsa yang dilihat sudah agak berusia itu.
BACA LAGI: Isu sekolah daif sudah lama, tapi rakyat tak pernah jemu beri solusi
Keadaan mozek yang pecah di lokasi kejadian. — Facebook
Malah, netizen turut mengkritik keadaan laluan pejalan kaki di kawasan tersebut yang didakwa tidak diselenggara dengan baik sehingga menimbulkan bahaya kepada orang ramai.
"Dah bertahun rosak benda ni, buat tak nampak agaknya. Buatnya tadi aunty ni jatuh mati, dah lain cerita," tulis Azim Razak.
Pada masa sama, terdapat juga netizen yang mempersoalkan tahap keseriusan pihak bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan orang awam yang berkunjung ke kawasan tersebut.
"Kalau menteri yang jatuh, petang ini siap repair mozek tu," ujar Erul Hnz.
Perkara itu turut dipersetujui oleh Roszita Fathrul Jaman yang berkata, "Pantas mereka buat kerja kan. Kalau rakyat biasa mahu makan tahun nak repair."
Ekoran daripada kejadian tersebut, terdapat juga netizen yang meminta mangsa supaya menyaman pihak yang bertanggungjawab dalam isu keselamatan di kawasan itu.
"Lama dah mozek tu (rosak), boleh saman pihak berwajib sebab banyak faktor keselamatan," ujar Asmida Mohd Zaidi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram