MASALAH kadar upah dalam kalangan pekerja gig terutamanya yang terlibat dalam industri perkhidmatan e-hailing terus menjadi isu yang menjadi perhatian dalam kalangan pekerja di Malaysia.
Terbaharu, sekumpulan pekerja perkhidmatan sebuah syarikat p-hailing tampil melancarkan kempen boikot pada Sabtu lalu selepas tidak berpuas hati dengan kadar upah baharu yang ditetapkan.
Ia selepas struktur baharu yang dilaksanakan itu menyaksikan pengurangan kadar caj upah penghantaran daripada RM4.30 ke RM3.50.
Ekoran itu, segelintir ride p-hailing dilaporkan mendakwa bahawa pendapatan harian mereka berkurangan hampir separuh daripada RM150 hingga RM170 pada waktu sebelum ini kepada hanya RM70.
Untuk rekod, ia bukan kempen boikot pertama yang dilaksanakan oleh kumpulan pekerja terbabit.
Gerakan serupa juga pernah dilakukan pada sekitar Ogos 2022 ekoran susulan daripada isu sama iaitu berkaitan penurunan kadar upah.
Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pada Ogos tahun lalu turut pernah mengadakan pertemuan bersama syarikat pengendali e-hailing bagi membawa keluhan kumpulan berkenaan.
Dengan melihat kepada ketidaktentuan isu berkenaan, ramai pihak berpandangan bahawa pekerjaan sebagai penyedia perkhidmatan e-hailing bukanlah satu karier yang benar-benar menjamin masa depan.
"Tak salah buat p-hailing. Tapi kena faham, benda ini tak kekal lama. Tak ada career progression," tulis financialfaiz.
Terdapat pihak berpendapat pekerjaan sebagai penunggang p-hailing tidak menjanjikan peningkatan karier dan masa depan yang terjamin untuk seseorang individu. — Gambar hiasan
Hujah tersebut turut dipersetujui oleh seorang lagi pengguna di laman X, ikarbertweet yang berkongsikan pengalamannya menjadikan e-hailing sebagai pekerjaan sampingannya.
"Aku mula buat e-hailing tahun 2016, start dengan Uber, boleh dapat seminggu RM1,500 secara sambilan.
"Lepas itu buat secara sepenuh masa Grab dan Uber tahun 2017 ke 2019. Sambil-sambil tu dapat kerja jadi Salesman Construction Machine. Kemudian dapat kerja jadi driver anak orang Finland pergi sekolah dengan bayaran RM80 sehari," tulisnya.
Aku start buat e-hailing tahun 2016, start dengan Uber, boleh dapat seminggu RM1500 partime.
Lepas tu buat fulltime Grab dan Uber tahun 2017-2019. Sambil2 tu dapat kerja jadi Salesman Construction machine. Then dapat kerja jadi Driver anak org Finland pergi sekolah sehari RM80. https://t.co/3Hzsw4YZlA
— Ikar (@ikarbertweet) January 21, 2024
Menurut ikarbertweet, dia mengakui bahawa beberapa pekerjaan sampingan diperolehinya sebagai pegawai jualan dan pemandu peribadi itu didapati ketika terlibat secara aktif dalam perkhidmatan e-hailing.
Bagaimanapun, ujarnya, dia kemudiannya berjaya mendapatkan pekerjaan tetap pada sekitar Julai 2020, iaitu betul-betul ketika dia baru sahaja dikurniakan cahaya mata.
"...and the rest is history. Syukur Alhamdulillah. Nasihat aku kepada siapa buat sepenuh masa e-hailing ini, keluarlah cepat-cepat cari kerja tetap.
"Boleh kerja e-hailing tapi sekadar pilihan untuk survival sementara nak bertapak balik. Sekali dah jual jiwa pada e-hailing, masa depan kau tiada kestabilan. Tenaga habis, habis lah pendapatan," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram