MEMASUKI tahun 2024, pastinya pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan termasuk bantuan untuk para pelajar yang masih bersekolah atau berada di bawah tanggungan ibu bapa.
Bantuan tersebut sememangnya pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pembentangan Belanjawan 2024 sebelum ini.
Antara bantuan yang termasuk dalam Belanjawan tersebut adalah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang mana ia sudah mula diagihkan bermula Januari 2024.
BACA LAGI: Bantuan Awal Persekolahan RM150 dibayar Januari 2024
Bantuan tersebut meliputi keperluan harian sekolah anak-anak. — Gambar hiasan/The Star
BAP juga termasuk dalam senarai bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang meliputi bantuan yuran persekolahan, peperiksaan, pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah, bantuan persekolahan serta bantuan latihan dan bimbingan.
Pada 16 Oktober 2023, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa BAP akan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit terus ke akaun masing-masing.
Tambahan lagi, sebanyak RM788,130,000 diperuntukkan khusus untuk BAP manakala setiap pelajar akan menerima RM150 secara sekali bayar menerusi saluran daripada pihak sekolah.
Susulan itu, pada Rabu, murid di beberapa sekolah dilaporkan sudah mula menerima bantuan berkenaan sekali gus menerima maklum balas positif daripada rata-rata ibu bapa.
Namun, selain BAP, terdapat tiga lagi inisiatif bermanfaat yang perlu diambil tahu oleh para ibu bapa demi kepentingan anak-anak.
1) RMT
RMT antara bantuan berbentuk makanan atau minuman kepada pelajar sekolah.
Rancangan Makanan Tambahan (RMT) merupakan salah satu inisiatif yang termasuk dalam Belanjawan 2024.
Selari dengan objektif KPM untuk terus memberikan perhatian serius berhubung isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah, RMT dilaksanakan bersama Program Hidangan Berkhasiat (HiTS).
Selain itu, peruntukan RMT kali ini juga dikatakan dinaikkan kepada RM784 juta berbanding RM625 juta pada 2022.
Bukan itu sahaja, terdapat penambahbaikan dalam bantuan RMT iaitu menerusi bekalan susu harian kepada pelajar sekolah termasuk meluaskan skop penerima serta menaikkan kadar bekalan susu.
2) EMK
Pelakar OKU juga diberi bantuan khas. — Gambar hiasan/The Star
Dalam Belanjawan 2024, terdapat juga bantuan khas untuk pelajar istimewa atau Orang Kurang Upaya (OKU).
Bantuan yang dipanggil sebagai Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) diperuntukkan sebanyak RM199 juta bagi 2024 berbanding RM181 juta tahun sebelumnya.
Sebenarnya, EMK telah diperkenalkan sejak lagi 2005 lagi dan ia bertujuan meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga murid-murid OKU.
Elaun tersebut diberikan kepada murid OKU meliputi peringkat prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah termasuk pelajar di Kolej Vokasional dan Matrikulasi yang mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dalam pada itu, kadar bantuan yang akan diterima oleh mereka yang layak adalah sebanyak RM150 sebulan selama 12 bulan tetapi tertakluk kepada jumlah bulan bagi melayakkan murid menerima EMK pada tahun berkenaan.
3) BKP
Pelajar daripada golongan kurang berkemampuan tidak akan disisihkan. — Gambar hiasan/The Star
Bukan itu sahaja, kerajaan turut menyediakan bantuan lain seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) bagi 2024.
BKP merupakan biasiswa yang sudah diperkenalkan sejak 1970-an lagi dan ia bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan memberi perangsang kepada murid dari golongan keluarga berpendapatan rendah.
Namun, sebelum ini, kerajaan mengumumkan perubahan dalam kriteria baharu untuk penerima bantuan tersebut.
BACA LAGI: Setiap kanak-kanak berhak dapat bantuan pendidikan
Dalam Belanjawan sama, Anwar berkata, kerajaan bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan BKP mengikut kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.
Ibu bapa juga disarankan untuk menyemak terlebih dahulu terhadap kadar pemberian biasiswa mengikut senarai yang ditetapkan oleh KPM.
a) Tingkatan 1 hingga 4: RM70 sebulan (12 bulan).
b) Tingkatan 5: RM70 sebulan (11 bulan).
c) Tingkatan 6 Rendah (Aliran Sains): RM110 sebulan (7 bulan).
d) Tingkatan 6 Atas (Aliran Sains): RM110 sebulan (11 bulan).
e) Tingkatan 6 Rendah (Aliran Sastera): RM90 sebulan (7 bulan).
f) Tingkatan 6 Atas (Aliran Sastera): RM90 sebulan (11 bulan).
Sementara itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web KPM untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bantuan persekolahan yang mendatang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram