TULAR satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori terbabas selepas dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh beberapa buah kenderaan lain di Ara Kuda, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Sabtu.
Menerusi rakaman video berdurasi 28 saat dari arah belakang sebuah kereta itu, beberapa kenderaan dilihat sedang berhenti di sebuah persimpangan.
Bagaimanapun, sebuah lori kemudiannya dilihat meluru laju dan bergerak melelong dari arah kiri ke kanan dipercayai kerana mengalami masalah brek.
BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga tepi jalan urut dada sempat elak kereta terbabas rempuh khemah di Rantau Panjang
Berdasarkan klip berkenaan, suara jeritan wanita dipercayai pemilik kenderaan itu turut didengar beberapa kali sebelum ia hilang.
Usaha menghentikan kenderaan berat itu bagaimanapun gagal apabila lori terbabit terbabas sebelum melanggar beberapa buah kenderaan di hadapannya termasuk kereta yang kameranya merakam kejadian tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah lawan arus, rider terkulai atas jalan kena rempuh bas di Saratok
Pada masa sama, kamera kenderaan itu turut didengar mengeluarkan audio menyatakan alat berkenaan berhenti daripada melakukan rakaman.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad mengesahkan mengenai kejadian tersebut yang berlaku sekitar pukul 10.45 pagi Sabtu.
Beliau berkata, dalam insiden berkenaan, sekurang-kurangnya enam buah kenderaan terlibat ekoran rempuhan lori terbabit yang dipercayai mengalami masalah brek.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan telah diubah ketika polis tiba di lokasi kejadian. Kemalangan membabitkan sebuah lori tiada muatan dari Tasek Gelugor menghala ke Lunas, Kedah.
"Apabila tiba di lampu isyarat Jalan Ara Kuda, dikatakan brek lori tidak berfungsi menyebabkan pemandu cuba mengawal dan memperlahankan kenderaannya dengan bergerak ke kiri dan ke kanan.
"Namun, pemandu gagal berhenti dan merempuh kenderaan lain yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat merah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, ekoran kejadian tersebut, seorang pemandu mengalami cedera ringan manakala yang lain selamat, sementara kenderaan terlibat turut mengalami kerosakan akibat dirempuh.
Kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah Kaedah Lalulintas 1959. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram