[VIDEO] Bukan kes tembak, tapi tragedi suami kelar isteri sebelum cederakan diri di Klang


  • 112
  • Jumaat, 19 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan kejadian melibatkan tragedi perselisihan faham pasangan suami isteri di Klang, Selangor pada Jumaat.

SEORANG lelaki berlumuran darah di dalam kereta ditemui selepas bertindak mencederakan seorang wanita di Lebuhraya Kesas berhadapan Kondominium Gravit 8, Kota Bayu Emas, Klang, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan mendapati telah berlakunya perselisihan faham antara kedua-duanya yang merupakan pasangan suami isteri itu.

BACA LAGI: Lelaki ditemukan mati dengan kesan tembakan di Klang

Katanya, isterinya berumur 49 tahun itu sempat melarikan diri daripada selepas ditikam dan dikelar beberapa kali menggunakan pisau pemotong dan mendapatkan bantuan orang awam ketika kejadian.

"Mangsa yang dalam ketakutan keluar daripada kereta dan apabila sebuah kereta berhenti untuk menghulurkan bantuan, suspek terus melarikan diri sebelum mencederakan dirinya.

"Suspek, 50, kemudiannya ditemui berada di dalam keretanya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan anggota kami telah memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkannya," katanya.

Cha berkata, mangsa cedera di leher, bahu sebelah kiri, tangan sebelah kanan, kaki sebelah kiri dan belakang badan manakala suspek luka di kedua-dua belah tangan.

Mangsa juga dikatakan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahmah Klang.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai iaitu 10 tahun, denda, sebat atau mana-mana dua daripadanya," tambahnya.

Pada masa sama, beliau turut meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian menghubungi pihak polis.

Sementara itu, sebelum ini, tular sebuah video memaparkan kejadian itu yang mengaitkannya dengan insiden tembakan, namun pihak polis mengesahkan bahawa ia berpunca daripada persilisihan faham dan tiada insiden tembak-menembak berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram