DUA murid lelaki di terpaksa berjalan kaki selama dua hari untuk sampai ke sekolah mereka yang terletak di pedalaman Kota Marudu, Sabah.
Lebih menyedihkan, kedua-dua mereka juga terpaksa mengharungi perjalanan tersebut dalam keadaan keletihan dan kelaparan ditambah dengan keadaan jalan yang begitu teruk.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh seorang guru di Facebooknya yang menggunakan nama, Moniq Cfrndz.
Di dalam klip tersebut, guru terbabit dilihat menyambut kehadiran kedua-dua murid tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai.
Menerusi video berkenaan, pasangan murid lelaki berkenaan dilihat tiba dalam keadaan berlumuran lumpur sambil memegang payung dan beg yang dipercayai mengandungi beberapa pakaian dan buku sekolah mereka.
Kedua-dua murid itu juga dilihat hanya mampu tersenyum sebaik ditawarkan makanan yang disediakan untuk mereka sebaik tiba di pusat pendidikan tersebut.
“Penat dan lapar. Semalam sejuk,” ujar mereka ketika ditanyakan oleh guru mengenai perasaan mereka ketika sampai di sekolah.
Pada masa sama, kedua-dua murid itu kedengaran memaklumkan bahawa guru mereka yang dikenali sebagai Hafiz telah jatuh sakit.
BACA LAGI: Isu sekolah daif sudah lama, tapi rakyat tak pernah jemu beri solusi
Difahamkan, mereka pada mulanya dalam perjalanan pergi ke sekolah dengan menaiki kereta milik orang kampung.
Namun, mereka berdua kemudiannya terpaksa meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki apabila kereta yang digunakan rosak.
Kedua-dua murid itu juga difahamkan terpaksa berhenti dan bermalam di rumah penduduk kampung bersama guru lain akibat keadaan cuaca hujan dan lumpur, menyebabkan mereka sukar meneruskan perjalanan ke sekolah dengan selamat.
Apabila perjalanan diteruskan pada keesokan harinya, mereka perlu mengharungi jalan berlumpur dalam jarak yang agak jauh.
Perkongsian Moniq yang memuat naik video tersebut pada Rabu lalu itu, turut tular di media sosial.
Dalam catatannya, beliau berkata, adalah sesuatu yang menyayat hati untuk melihat kanak-kanak sekecil itu melalui kesusahan sedemikian, namun masih sanggup pergi ke sekolah untuk menimba ilmu.
Dia berharap pihak berkuasa dan mereka yang bertanggungjawab segera membaiki dan membina jalan yang sudah dirancang untuk penduduk kampung.
Susulan daripada itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keadaan jalan raya tersebut yang dikenali sebagai Jalan Magandai itu dalam proses pembinaan.
“Jalan sepanjang 40 kilometer bermula dari Kampung Tondig ke SK Magandai, Kota Marudu, sedang dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“Kontraktor memaklumkan jentera mereka berada di tapak dan juga akan dihantar ke kawasan yang selalu berlaku kerosakan untuk penyelenggaraan apabila perlu,” katanya.
Shahelmey berkata, berikutan hujan berterusan, struktur bumi menjadi lembut dan ini menyukarkan pembinaan serta kerja penyelenggaraan dijalankan.
Beliau berkata, kontraktor dan pekerja yang ditempatkan di kawasan itu sering berada di situ untuk membantu penduduk kampung apabila mereka memerlukan bantuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram