Siap berani minta bukti, rumah jadi 'port' pekerja warga asing walau pemilik tak pernah sewakan sejak beli 10 tahun lepas


  • Tular
  • Ahad, 21 Jan 2024

Foto memaparkan sekumpulan warga asing yang dipercayai mendiami rumah berkenaan tanpa kebenaran pemiliknya. — Facebook/SrilabuKedah

NIAT seorang lelaki bagi membantu menguruskan jualan sebuah rumah berdepan dengan kejutan selepas dia mendapati unit kediaman tersebut rupa-rupanya sedang dihuni oleh sekumpulan pekerja warga asing.

Lebih memeranjatkan, kediaman apartment yang terletak di Puchong, Selangor itu difahamkan tidak pernah disewakan kepada mana-mana pihak selepas dibeli oleh pemiliknya sejak 10 tahun lalu.

Insiden tersebut dikongsikan sendiri oleh seorang pengguna Facebook, Srilabu Kedah menerusi hantaran yang dimuat naik pada Ahad.

Menurut lelaki tersebut, dia pada awalnya diminta untuk menguruskan jualan rumah tersebut oleh seorang rakannya yang mengenali pemilik rumah berkenaan.

"Pemiliki tu dia duduk di Negeri Pantai Timur. Jadi dia suruh aku uruskan jual beli semua. Oklah sebab, Puchong dengab Seremban 2 tidak jauh mana.

"Boleh la tolong uruskan A to Z. Jadi pemilik tu poskan kunci pada sahabat aku tu, dan sahabat tu pass kunci kat aku.

"Aku tanya rumah siapa yang duduk? Pemilik kata kosong dah beberapa tahun. Dari beli tak duduk, sebab dia lebih suka duduk di kampung," tulisnya.

BACA LAGI: Penyewa dari neraka tinggalkan bil elektrik tinggi, TNB perjelas tiada hak buat pemotongan

WhatsApp Image 2024-01-21 at 7.37.41 PM

Gambar dikongsikan yang memaparkan keadaan rumah tersebut yang didiami kumpulan warga asing tersebut. — Facebook/SrilabuKedah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Takkan asyik terlepas bas', Imigresen digesa gempur warga asing disyaki buat TBS macam rumah

Bagaimanapun, lelaki berkenaan memaklumkan sebaik tiba di unit kediaman tersebut, dia agak terkejut selepas mendapati rumah itu sedang dihuni oleh sekumpulan individu.

Untuk lebih kepastian, dia juga menghubungi pemilik kediaman tersebut untuk membuat pengesahan.

"Aku pun call owner tu sekali lagi nak pastikan betul-betul 'betul ka rumah ni kosong?'. Aku pun cakap kat dia 'ada orang duduk rumah ni warga asing!'.

"Pemiliki pun terkejut. Sebab dia tak pernah bagi sewa kepada sesiapa sejak beli lebih 10 tahun yang lalu," kongsinya lagi.

Dalam pada itu, lelaki tersebut berkata, usahanya untuk berbincang dengan kumpulan berkenaan juga mengalami kesukaran kerana tiada antara mereka mampu bercakap dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris.

Pada masa sama, dia turut mengakui terkejut dengan keberanian kumpulan itu untuk menceroboh rumah berkenaan meskipun tidak pernah cuba mendapatkan kebenaran daripada pemilik rumah.

"Mereka berani-berani masuk duduk rumah orang buat dek saja. Air mereka tarik dari rumah sebelah. Elektrik pula tak tahu mereka sambung macam mana," ujarnya.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan memaklumkan dia juga berjaya bertemu penyelia kepada kumpulan berkenaan yang juga seorang lelaki warga Bangladesh.

Ujarnya, dia dimaklumkan bahawa mereka sudah lama mendiami rumah berkenaan tanpa membuat sebarang bayaran sewa.

"Dia kata mereka dah duduk lama, tak bayar sewa dan tiada orang kacau sebelum ini. Jadi mereka pula minta bukti dari pemilik yang nyatakan dia tu 'owner' yang betul," katanya.

Dalam pada itu, menerusi hantaran sama, lelaki terbabit memaklumkan sudah meminta pemilik rumah berkenaan untuk membuat laporan polis berhubung insiden tersebut,

Katanya, laporan juga akan dibuat ke pihak imigresen ekoran daripada kejadian yang berlaku itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram