[VIDEO] Kes penghuni kondo Bukit Jalil pukul pengawal keselamatan, polis sahkan suspek sudah didakwa


  • 112
  • Ahad, 14 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan lelaki berkenaan melanggar pengawal keselamatan dengan motosikalnya di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 5 Januari lepas.

SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan selepas tertangkap memukul seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 5 Januari lalu.

Namun, setelah disahkan polis, lelaki dipercayai penghuni kondominium terbabit dilaporkan sudah didakwa di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Sabtu.

BACA LAGI: Polis siasat Sarjan Mejar tumbuk, tampar orang awam di restoran di Johor

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, pihaknya telah mengesan dua video tular memaparkan kejadian antara lelaki tempatan dan lelaki warga asing itu pada Sabtu.

Jelasnya, semakan mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 8 pagi, 5 Januari lalu.

“Suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati tentang penghalang yang diletakkan di laluan keluar bangunan tersebut.

“Lelaki itu telah bertengkar dengan pengawal keselamatan dan mencederakan seorang pekerja yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial sejak Sabtu, lelaki berkenaan dilihat melanggar pengawal keselamatan dengan menggunakan motosikal yang ditunggangnya di kawasan parkir.

Ridzuan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan suspek telah dituduh di bawah seksyen yang sama di Mahkamah Jalan Duta.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan ketenteraman awam,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram