BAGI pemilik kediaman, mendapat penyewa bertanggungjawab dan menjaga rumah seperti milik mereka sendiri merupakan satu impian buat mereka.
Namun, bukan semua penyewa mempunyai nilai sikap bertanggungjawab dan ada yang bersikap sambil lewa.
Bukan itu sahaja, ada juga penyewa yang digelar 'penyewa dari neraka' kerana mengambil kesempatan tidak membayar sewa rumah ataupun tidak membayar bil elektrik dan air berbulan-bulan lamanya.
Hal ini membebankan tuan rumah kerana mereka terpaksa menanggung kerugian sehingga puluhan ribu ringgit angkara perbuatan terbabit.
Terbaharu, seorang pemilik rumah terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit ekoran daripada penyewa yang culas membayar utiliti.
Melalui gambar tular yang dikongsikan di laman X (Twitter), Malaysian Most Viral pada Ahad, pemilik rumah yang berlokasi di Taiping, Perak itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM 21,894.
Difahamkan, penyewa yang berkeluarga itu telah meninggalkan rumah dan tidak membayar bil elektrik selama beberapa bulan.
Ciapan tersebut turut mengundang pelbagai persoalan daripada warga maya malah ada yang mempertikaikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik rumah tersebut.
Seorang pengguna media sosial, @adzdin turut mempertikaikan tindakan TNB.
"Pelik, kenapa @Tenaga_Nasional tak potong elektrik selepas tak bayar bil berbulan-bulan?
"Macam ada yang tidak kena dengan TNB," soalnya.
Pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi myTNB bagi menyemak bayaran bil elektrik mereka pada setiap bulan.
Tampil mengulas isu tersebut, TNB memaklumkan arahan pemotongan elektrik adalah bergantung kepada arahan pemilik rumah melalui satu ciapan.
"Arahan pemotongan adalah bergantung kepada pihak Kedai Tenaga (pemilik).
"Pihak TNB tidak akan melakukan pemotongan walaupun mempunyai tunggakan tinggi sekiranya premis berkunci kerana pihak TNB tidak boleh menceroboh premis tanpa kebenaran daripada pemilik akaun," tulisnya.
Pada masa sama, seorang pengguna, @mhdrzinibrhm menasihati pemilik rumah untuk memuat naik aplikasi myTNB bagi memastikan penyewa rumah membayar bil utiliti berkenaan setiap bulan.
"Muat naik aplikasi myTNB by @Tenaga_Nasional senang. Boleh tengok bil elektrik yang tertunggak dan lain-lain. Tak kisah pemilik rumah atau penyewa boleh gunakan aplikasi tersebut.
"Mudah boleh dimuat naik pengguna Apple iOS dan juga Android," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram