PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Malaysia yang akan menentang Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E kempen Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di Doha, Qatar pada awal pagi Selasa.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Anwar berkata, skuad Harimau Malaya akan memulakan misi penting dalam membawa nama negara dalam perlawanan itu.
"Seluruh rakyat Malaysia mendoakan kalian bertempur dengan penuh semangat. Selamat berjuang!” katanya yang turut memuat naik poster dalam hantaran itu.
Kesebelasan utama Malaysia menentang Jordan. — Facebook/FAM
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam hantaran di Facebook turut menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyaksikan perjuangan pasukan Harimau Malaya sebagai tanda sokongan dalam perlawanan itu.
Beliau turut berharap agar pasukan Malaysia mampu melakar sejarah dengan melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023.
"Dah sedia ke semua nak berjaga malam ini? Saat yang dinanti-nanti oleh kita semua seluruh rakyat Malaysia untuk aksi perlawanan pertama Harimau Malaya yang akan bertemu dengan pasukan Jordan 1.30 pagi esok (Selasa).
"Walaupun kita jauh, pamerkan sokongan anda untuk pasukan Harimau Malaya! Sama-sama kita doakan yang terbaik untuk skuad negara. Tapi jangan lupa bangun solat Subuh dan yang kerja kena pergi kerja juga ya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram