Piala XOX disambut meriah, diharap mampu lahirkan permata bola sepak Perak


  • Podium
  • Ahad, 14 Jan 2024

SSN Perak muncul juara selepas menumpaskan pasukan Kinta Utara dengan skor 4-3 dalam penentuan sepakan penalti. — Facebook/TBG Junior

DALAM usaha meningkatkan lagi mutu pembangunan bola sepak di Perak, syarikat telekomunikasi, XOX Berhad tampil menganjurkan Piala XOX yang diadakan dengan kerjasama Perak FC dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Sebanyak 14 buah pasukan dari 12 daerah tampil menyertai pertandingan berkenaan dengan misi menggilap bakat muda dalam kalangan pelajar sekitar negeri.

Jadi, selepas beberapa bulan dianjurkan, perlawanan akhir menyaksikan Pasukan Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak - SMK Gunung Rapat, Ipoh menjuarai edisi pertama kejohanan.

Dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor, pasukan terbabit berdepan Kinta Utara yang diwakili SMK Anderson, Ipoh dengan ratusan penyokong hadir untuk menyaksikan perlawanan itu.

Setelah terikat tanpa jaringan, aksi getir itu diheret ke penentuan sepakan penalti yang kemudiannya berpihak kepada SSN Perak dengan skor akhir mencatatkan 4-3.

419472675_122153915156028018_8741947696715620190_n

Aksi cukup bertenaga dipamerkan kedua-dua pasukan dalam perlawanan akhir tersebut. Facebook/TBG Junior

Bagi orang ramai, penganjuran Piala XOX merupakan satu langkah cukup baik dalam melahirkan pemain yang mampu mewakili skuad The Bos Gaurus (TBG) pada masa akan datang.

"Tahniah kepada kedua-dua pasukan yang beraksi dalam perlawanan akhir. Permainan yang sangat seimbang walaupun nampak SMK Anderson lebih menguasai permainan.

BACA LAGI: Siap 'follow' IG Perak petanda Haziq Nadzli sudah semakin hampir sertai TBG

"Daripada kejohanan bawah-17 tahun ini, saya yakin Perak mempunyai kumpulan bakat-bakat muda yang sangat berpotensi dan boleh diserap dalam pasukan bawah umur Perak FC seperti Piala MFL, Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan SUKMA," kata Neow Choo Seong.

"Semoga dari sini akan lahirnya pengganti V Saravanan, Khalid Jamlus, Hardi Jaafar, Liew Kit Kong, Indra Putra Mahyuddin, Nasril Nordin, dan Ahmad Shahrul Azhar.

419464065_122153917838028018_3038341154825716763_n

Ratusan penyokong hadir untuk memeriahkan perlawanan akhir Sabtu lalu. Facebook/TBG Junior

"Ramai lagi nak sebut bekas pemain Perak yang telah mencipta nama bersama pasukan Perak dan kebangsaan, semoga legasi bola sepak Perak akan kembali digeruni hanya dengan pemain tempatan," kata Harry Muhammad.

"Tahniah SSN Perak, dah boleh untuk masukkan mereka dalam skuad Piala Presiden dan Piala Belia untuk mereka ini. Semoga ada tempat untuk anak-anak SSN," kata Aenshah Ain Zubaidah Zahari.

Selain penyokong, beberapa individu penting turut hadir menghangatkan aksi final berkenaan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin serta Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mohammad Fauzi Mahson.

Pemain Kinta Utara, J Yugendran diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan sementara tonggak SSN Perak, Razin Rafiqeen Romzi dinobatkan penjaga gol terbaik Piala XOX. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram