BEBERAPA siri kekalahan dicatatkan Perak FC sepanjang sesi pramusim yang mana serba sedikit menjejaskan keyakinan mereka untuk musim akan datang.
Walaupun ada segelintir penyokong yang masih percaya akan kemampuan skuad The Bos Gaurus (TBG), tinjauan di media sosial mendapati kegusaran mula timbul kian hari.
Hal tersebut dibuktikan apabila ada yang mula mempersoalkan pendekatan pihak pengurusan untuk membawa masuk pemain muda sepanjang jendela perpindahan.
Bekas penyerang skuad Bawah 23 (B-23) Harimau Malaya, Hadi Fayyadh Abdul Razak dan bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See merupakan antara rekrut yang dibawa masuk.
Bagi menguatkan lagi barisan kejurulatihan pula, jurulatih sensasi, Datuk Lim Teong Kim menjadi taruhan Perak FC meskipun dia tidak pernah mengendalikan pasukan Liga Malaysia.
Namun, setakat ini, falsafah yang cuba diterapkannya masih tidak membuahkan hasil apabila mereka gagal mencatatkan keputusan positif dalam beberapa perlawanan pemanas badan.
Jadi, tidak hairanlah sekiranya semangat juang yang dipamerkan penyokong TBG semakin luntur bagi menyaksikan perjuangan pasukan itu musim ini.
Tetapi, bagi legenda bola sepak Perak, Khalid Jamlus, ia merupakan satu tindakan tergopoh-gopoh untuk menilai kemampuan pasukan berdasarkan aksi pramusim.
Khalid (kiri) dianggap sebagai peledak terbaik yang pernah menyarung jersi Perak FC.
"Jika kita berpandukan kepada sesebuah pasukan, kebiasaannya, dalam aksi pramusim, kebanyakan pasukan di dalam mahupun luar negara melakukannya untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan masing-masing.
"Mengenai Perak, walaupun mereka tewas, kualiti yang ditunjukkan pemain muda sangat-sangat membanggakan, cuma perlu dibaik pulih dari segi serangan dan pertahanan," katanya kepada Majoriti.
Katanya, berdasarkan pemerhatian dalam pertembungan antara skuad TBG dan Kuala Lumpur (KL) City FC, potensi beberapa ubi muda pasukan cukup cerah untuk masa depan.
Perlawanan yang diadakan sempena Piala Menteri Wilayah Persekutuan itu menyaksikan anak-anak buah Teong Kim tewas dengan skor 0-3 dalam pertemuan yang diadakan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai kesesuaian untuk meletakkan kepercayaan ke atas pemain muda, Khalid berasakan ia tidak akan menjanjikan hasil segera.
"Apa yang saya lihat, Teong Kim ada keyakinan yang cukup tinggi terhadap pemain muda yang sedia ada. Dari segi instant result tu, saya tak nampak.
"Yang saya nampak, perancangan dan juga idealisme yang cuba diterapkan ke dalam pasukan adalah untuk jangka masa panjang yang mana dalam masa dua tahun akan datang, pasukan Perak akan digeruni," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram