[VIDEO] Saddil selamba 'psiko' pemain Filipina selepas jaringkan gol penting buat Indonesia


  • Podium
  • Rabu, 22 Nov 2023

Saddil kini sudah menjaringkan dua gol dalam 25 penampilannya bersama skuad kebangsaan Indonesia. — Agensi

DUA minggu kebelakangan ini menyaksikan hampir kesemua negara Asia sedang berentap dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang cukup penting bagi mereka.

Meskipun ada di antara mereka yang bergembira dengan mata yang diraih, sebahagian daripada mereka terpaksa berpuas hati dengan kutipan mata setakat dua perlawanan itu.

Antara yang pastinya sedikit kecewa dengan prestasi masing-masing ialah Indonesia selepas mencatatkan kekalahan kepada Iraq dan hanya seri di tangan Filipina.

Kutipan berkenaan menyaksikan mereka kini berada di tangga tercorot Kumpulan F dengan kedudukan terbabit pastinya diharapkan dapat diperbaiki pada masa akan datang.

Bagaimanapun, tumpuan masih diberikan dalam aksi kedua mereka berdepan Filipina setelah mereka mempamerkan kebangkitan pada babak kedua untuk mencuri satu mata penting.

Saddil meraikan jaringannya dengan mengganggu emosi bek kanan Filipina itu.

Setelah ketinggalan pada separuh masa pertama, skuad Garuda berjaya bangkit pada minit ke-70 menerusi jaringan pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani.

Ketenangannya untuk menyempurnakan umpanan Ricky Kambuaya menyaksikan kedudukan terikat pada Stadium Peringatan Rizal, Filipina dengan keputusan kekal sehingga tamat permainan.

Tetapi, Saddil mencuri perhatian ramai apabila dia mengajuk pertahanan lawan kanan, Daisuke Sato ketika meraikan jaringannya.

Tindakannya itu pasti berpunca daripada pertembungan masing-masing dalam perlawanan terbabit dengan Saddil terpaksa berdepan bek Persib Bandung berkenaan.

Jaringan tersebut sekali gus menjadi bukti bahawa penyerang berusia 24 tahun berkenaan tampil lebih unggul dengan gol terbabit memberi kelebihan buat mereka.

Sato bagaimanapun tidak memberi respons terhadap pemain Sabah FC terbabit dengan dia kelihatan kecewa apabila gagal menutup peluang buat pihak lawan itu.

Saddil kini sudah menjaringkan dua gol daripada 25 penampilan bersama Indonesia dengan pemain berkenaan dilihat akan terus menjadi watak utama mereka pada tahun-tahun akan datang.

Skuad Garuda bakal bertemu Iraq dalam pertemuan Kumpulan D Piala Asia pada 15 Januari dengan mereka turut diundi di samping Jepun dan Vietnam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram