SEORANG penunggang motosikal bersama anaknya dipercayai mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran di Indera Sempurna dekat Kuantan, Pahang pada Isnin.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu, kejadian itu berlaku pada pukul 12.50 tengah hari.
Video tersebut turut tular di aplikasi WhatsApp pada hari yang sama dan melalui maklumat awal yang dikongsikan kedua-dua mangsa didakwa dirempuh bas berkenaan.
Melalui rakaman dashcam berkenaan, bas tersebut berada di lorong kanan jalan berkenaan.
BACA LAGI : [VIDEO] Cubaan rompak bersenjata gagal, pemilik kedai emas 'trick' buka laci sebelum larikan diri
Motosikal tersebut dipercayai keluar daripada sebuah simpang sebelum memotong ke arah kanan sehingga menyebabkan bas tersebut tidak sempat memberhentikan kenderaan dan terus merempuh mereka.
Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan kedua-duanya terpelanting dan jatuh berguling beberapa kali ke atas jalan.
Lebih mengerikan lagi, kanak-kanak malang itu juga dilihat tidak menggunakan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia lima tahun mengalami luka di tangan, badan dan kepala kini dirawat di wad kecemasan (zon merah) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala ibunya berusia 43 tahun dirawat di zon kuning hospital sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas tanpa penumpang dipandu lelaki berusia 41 tahun dalam perjalanan dari Terengganu menghala ke Johor.
"Ketika sampai di lokasi kejadian, semasa bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba motosikal dinaiki dua beranak itu dipercayai keluar dari simpang sebelah kiri dan mengubah ke lorong kanan memasuki laluan bas.
"Pemandu bas cuba mengelak namun gagal apabila terlanggar motosikal terbabit kerana jarak yang terlalu dekat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram