SEORANG penjenayah yang bersenjatakan pistol dirakam cuba merompak sebuah kedai emas di Dataran Palma Bangunan Sedco dekat Lahad Datu, Sabah pada Isnin.
Cubaan penjenayah terbabit gagal dan sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Melalui rakaman CCTV tersebut suspek yang memakai topi dan menggunakan pelitup muka dilihat berlegar-legar di hadapan kedai tersebut.
Dia kemudiannya mengeluarkan sepucuk pistol dan meminta pemilik kedai berkenaan menyimpan barangan kemas tersebut ke dalam sebuah bekas plastik.
Namun begitu, perompak berkenaan hanya mampu berputih mata apabila pemilik kedai hanya berpura-pura membuka salah satu laci almari barangan kemas miliknya dan terus melarikan diri ke belakang premis.
Suspek kemudiannya dilihat terus melarikan diri daripada tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, suspek turut menyerahkan satu beg kain berwarna merah kepada mangsa bagi digunakan untuk memasukkan emas ke dalam beg kain berkenaan.
Bagaimanapun tindakan berani mangsa membaling satu batang besi pengukur saiz cincin ke arah suspek berjaya menggagalkan cubaan samun itu.
"Siasatan awal polis mendapati senjata api yang digunakan suspek dipercayai palsu.
"Suspek berbadan gempal, tinggi anggaran 167 sentimeter dan berusia awal 40-an," katanya.
Dr Rohan Shah berkata, usaha untuk mengesan suspek dan saksi bebas di tempat kejadian masih dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 393/397 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak menggunakan senjata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram