[VIDEO] Dua penunggang motosikal cedera, nyaris digilis lori lepas pemandu Wira hilang kawalan


  • Tular
  • Isnin, 08 Jan 2024

Tangkap layar kemalangan melibatkan dua penunggang motosikal dipercayai mengalami kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga lagi kenderaan lain pada Sabtu.

DUA penunggang motosikal dipercayai mengalami kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan yang melibatkan tiga lagi kenderaan lain pada Sabtu.

Melalui maklumat awal dan video tular yang dikongsikan dalam aplikasi Telegram pada Isnin, kemalangan itu didakwa berlaku ekoran daripada sikap pemandu Proton Wira yang cuai.

"Punca kereta Wira dari lorong kiri nak ke lorong tengah.

"Kena langgar dengan lori yang tak sempat brek.

"Tiga kereta dan dua motosikal, yang lain semua selamat," tulisnya.

Namun begitu, tidak dinyatakan lokasi sebenar kejadian tersebut berlaku.

BACA LAGI : [VIDEO] Suspek halang ambulans sudah dicekup, mengaku ada masalah pendengaran

Melalui video kurang seminit yang berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan kelihatan Wira berkenaan terus merempuh seorang penunggang motosikal sebelum kenderaan tersebut berpusing.

Impak daripada rempuhan itu menyebabkan penunggang motosikal terpelanting ke tepi jalan raya manakala seorang lagi penunggang motosikal terus melanggar bahagian depan Wira tersebut.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut mahupun pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram