SEORANG peminat tegar setem sanggup berhabis duit lebih RM20,000 sejak lima tahun lalu kerana 'ketagih' mengumpul setem yang dianggap sebagai khazanah warisan.
Iszaynuddin Abd Hamid, 50, yakin mengumpul setem boleh memberi pulangan lumayan buat sesetengah individu tetapi bukan buat dirinya.
"Setem koleksi saya ni tidak ternilai dengan wang ringgit, ada orang kumpul sebab nak jual, tapi saya kumpul sebab minat dan setiap koleksi tu tersimpan nostalgia tersendiri," katanya.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu berkata, hobi mengumpul setem ini tercetus sejak tahun 1982 iaitu kira-kira 42 tahun yang lalu.
Koleksi setem ini bertarikh 29 November 1999.
Berkongsi cerita kepada Majoriti, beliau berkata, minat mengumpul setem ini tercetus sejak 40 tahun lalu ketika zaman kanak-kanaknya.
"Dulu kakak saya selalu bawa balik setem ke kampung, jadi minat itu timbul sebab dapat banyak setem.
"Saya pernah rasa nak berhenti kumpul setem masa zaman sekolah, tapi bila dah kerja, minat tu datang balik," katanya.
Iszaynuddin memiliki album khas untuk menyimpan setem.
Menyambut ulang tahun kelahiran pada Jumaat lalu, Iszaynuddin masih menyimpan rapi segala setem yang dimiliki sejak 90-an.
Sehingga kini, beliau mempunyai lebih 2,500 kad stam yang mempunyai nilai tinggi di pasaran antaranya paparan wajah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang sudah pasti tergolong dalam koleksi terhad.
Anak jati Pontian, Johor ini berkata, koleksi ribuan setem yang disimpan termasuk dari tahun 1957 hingga 2023.
Koleksi setem disimpan rapi dalam laci katalog.
Hobi mengumpul setem bukanlah sesuatu yang mudah walaupun nampak senang namun cara penyimpanan setem haruslah dibuat dengan teliti dengan penuh kesabaran.
"Nak menjaga setem ini, saya akan letak di dalam album khas supaya tak rosak.
"Sekarang ini, saya ada empat album mint setem yang belum digunakan, empat album yang telah digunakan, dua album miniature sheet, satu album stamp sheet, lebih 20 album koleksi setem hari pertama, lima album setem luar negara, tiga album untuk setem yang tak cukup set," katanya.
Antara koleksi setem mengikut tahun yang dikumpul Iszaynuddin.
Menetap di Shah Alam, Iszaynuddin berkata, kesemua koleksi setem disimpan dalam laci katalog yang dijaga rapi.
Berkongsi petua menyimpan setem, beliau menambah, bagi memastikan setem terjaga rapi, ia perlu dielakkan dari kelembapan udara bagi memastikan jangka hayat setem itu tidak rosak atau reput.
"Saya masukkan setiap keping setem dalam opp plastic, kemudian letakkan dalam pvc sheet dan pvc sheet masukkan dalam plastic sheet. Triple protection," katanya.
Berbeza dengan peminat setem yang lain, bagi mendapatkan setem terbitan terkini, Iszaynuddin akan pergi sendiri ke pejabat pos.
"Kalau orang lain ada yang buka akaun SODA untuk dapatkan setem terkini, tapi saya lebih suka pergi ke pejabat pos sendiri supaya feel tu ada.
"Dulu, dalam setahun ada 20 koleksi, sekarang sebulan sekali sahaja.
"Setem ini ada tema setiap bulan dan koleksi terakhir saya pada Disember tahun lepas dengan tema tasik," katanya.
Pengumpul tegar setem, Iszaynuddin bersama keluarga tercinta.
Bagi mereka yang berminat dalam hobi mengumpul setem, Iszaynuddin berkongsi tip yang boleh dimanfaatkan oleh kaki pengumpul setem.
1. Membuka Akaun Deposit Arahan Tetap (SODA)
Pengumpul setem digalakkan membuka Akaun Deposit Arahan Tetap (SODA) kerana ia memberi kemudahan kepada pengumpul setem untuk membeli setem keluaran khas hari pertama dan produk filateli tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari setem itu dikeluarkan.
2. Menyertai Persatuan Filateli Malaysia
Persatuan filateli membolehkan seseorang meneruskan kegiatan mengumpul bahan-bahan yang dikeluarkan oleh pejabat pos seperti setem, poskad, sampul surat hari pertama dan banyak lagi.
Jadi, adakah anda mempunyai hobi yang sama? Bukan mudah untuk memiliki hobi ini tetapi jika sudah terjebak, pasti anda tidak boleh berhenti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram