
JABATAN Pendidikan Sabah sedang menyiasat seorang guru selepas menghantar mesej tidak menyenangkan terhadap seorang pelajar kurang upaya (OKU).
Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin dilaporkan berkata, beliau sedang dalam proses mengumpul semua fakta berhubung isu yang tular di media sosial sejak Ahad.
Ia selepas guru berkenaan didakwa menggelar kanak-kanak terbabit sebagai 'anak bongkok' selain menyertakan gambar di dalam kumpulan WhatsApp guru dan ibu bapa.
Tangkapan skrin memaparkan mesej tular di media sosial sejak Ahad. — Facebook
Walaupun mesej tersebut telah dipadam namun tangkapan skrin mesej itu sempat dikongsi secara meluas di media sosial.
BACA LAGI : Tergamak tendang berulang kali, remaja OKU meraung kesakitan dibuli pelajar sekolah menengah
“Selepas semua maklumat dapat dikumpulkan, kita akan menyiasat guru terbabit,” katanya yang mungkin akan membuat laporan polis berhubung isu tersebut.
Raisin berkata, pihaknya akan berbincang dengan ibu bapa pelajar terbabit sebelum membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap guru itu.
"Kami akan membuat keputusan kemudian," katanya apabila ditanya sama ada pihaknya bercadang untuk segera menggantung guru itu sementara menunggu siasatan.
Raisin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan tindakan sedemikian oleh mana-mana guru.
Beliau berkata, kanak-kanak OKU perlu dilayan dengan berhati-hati dan adalah tidak profesional bagi setiap guru untuk mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan.
Dalam pada itu, Raisin turut memberi amaran baharu kepada semua warga pendidik di bawah jabatan tersebut supaya tidak memuat naik hantaran yang menyakiti perasaan pelajar di media sosial.
“Kita akan mengambil tindakan,” katanya lagi.
Pada masa sama, bapa kanak-kanak itu juga dikatakan telah membuat laporan dan aduan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta laporan polis. — The Star/MUGUNTAN VANAR
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram