TIDAK terkecuali dalam membahas berkenaan isu semasa, pandangan pelakon dan pengarah, Datuk Rosyam Nor kini menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia.
Ia susulan cadangan yang diberikan oleh Rosyam berhubung isu ketagihan pornografi yang dibincangkan dalam podcastnya, Hitam Putih Kehidupan bersama dua lagi tetamu jemputan baru-baru ini.
Menerusi video podcast yang tular di media sosial sejak Selasa, Rosyam memberikan pandangan bahawa pusat pelacuran perlu dibuka bagi mengatasi masalah kes rogol melibatkan warga tempatan.
BACA LAGI: Tiada penghujung, lambakan kes jenayah warga asing buat rakyat Malaysia naik darah
Pada masa sama, Rosyam turut mengaitkannya dengan lambakan warga asing yang menurutnya akan menjadi punca kepada masalah tersebut jika rumah pelacuran tiada di Malaysia.
Tangkap layar video podcast Rosyam berkenaan isu berbangkit.
Namun, cadangan itu menerima pelbagai reaksi tidak kurang juga dengan kritikan hebat oleh para warga maya yang menonton podcast berkenaan.
Hal ini kerana, ada yang menganggap perkara itu adalah salah serta tidak seharusnya menjadi alasan untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
Menurut salah seorang pengguna akaun Facebook Azroy Azlan, kebimbangan Rosyam adalah wajar, namun solusi yang diberikan pula tidak sesuai.
"Solusi yang dicadangkan tu yang tak boleh diterima. Masalah pokok adalah kebanjiran warga asing. Itu yang patut diselesaikan dahulu.
"Bukannya buka rumah pelacuran untuk mereka. Kita tak boleh selesaikan masalah dengan menambah masalah. Macam bomoh yang halau syaitan dengan bantuan syaitan," tulisnya.
Pada masa sama, dia juga menjelaskan mengapa cadangan Rosyam tidak boleh diguna pakai dan akan lebih menambah masalah.
"Katakanlah kita ikut saranan Rosyam. Pendatang asing bertambah seronok duduk di negara kita sebab sampai rumah pelacuran pun ada untuk mereka.
"Lebih ramailah yang nak datang dan tinggal lama di sini. Habis peluang kerja kita, diambil oleh mereka. Rakyat kita nak kerja tak boleh.
"Kalau yang tak kuat iman, terpaksa pulak melacur untuk kelangsungan hidup. Bayangkan, rakyat kita melacur untuk warga asing. Itulah contoh rantaian masalah yang boleh timbul, kesan pelacuran. Belum cerita bab penyakit dan masalah sosial lain," tambahnya.
BACA LAGI: Sindiket pelacuran diserbu, bayar RM240 untuk langgan
Bagaimanapun, ada juga yang mengambilnya daripada sudut pandang berbeza dengan mengatakan bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi ketagihan pornografi di Malaysia.
"Ada betul apa yang Rosyam cakap. Fikir-fikirkanlah. Kerajaan perlu ambil perhatian tubuhkan satu organisasi untuk ketagih porno, perlu ada perbincangan dan war-warkan perkara ini," komen Wawa Shaharuddin.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Hajah Nancy Shukri menganggap bahawa cadangan itu seperti merendahkan martabat wanita.
Hajah Nancy menentang keras terhadap cadangan yang dinyatakan oleh Rosyam berhubung isu tersebut.
Nancy berkata, wanita berhak menerima pengiktirafan dan layanan yang lebih baik daripada itu serta berpendapat bahawa cadangan meletakkan wanita sebagai 'alat' untuk menyelesaikan masalah sosial adalah merendahkan martabat kaum wanita.
"Sebagai individu yang memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya ingin menegaskan bahawa kementerian sentiasa memberi fokus terhadap usaha-usaha memperkasa wanita.
"Ia sekali gus mengarusperdanakan jantina melalui pelbagai program bagi meningkatkan penglibatan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.
"Ini termasuklah membantu kerajaan menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan wanita mempunyai peluang yang adil untuk mendapat tempat serta memiliki kerjaya yang baik dan bermaruah, sama seperti peluang yang dimiliki oleh kaum lelaki," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Nancy berkata, pihaknya juga sentiasa mempunyai sifar toleransi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita, sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi dan pendirian itu didokong penuh oleh kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi.
"Justeru, kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak dan sistem sokongan kepada wanita yang perlu ditanam dan disebarkan kepada rakyat umum, dan bukan sebaliknya.
"Kenyataan, cadangan ataupun gurauan yang tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normalisasi.
"Apatah lagi apabila ia secara terang-terangan bercanggah daripada pelbagai sudut, sama ada dari sudut undang-undang, prinsip serta nilai kekeluargaan dan budaya serta agama," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram