SEOLAH-OLAH tidak berpenghujung, isu melibatkan pendatang asing masih lagi berleluasa dan menjadi perbualan hangat di media sosial.
Berdasarkan rekod, jumlah pekerja asing di seluruh negara setakat 31 Disember tahun lalu adalah seramai 1,459,196 orang.
Majoriti pekerja asing di negara ini berasal dari Indonesia, selebihnya adalah dari Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Pakistan.
Baru-baru ini, rakyat meluahkan kegusaran mereka berhubung peningkatan kes jenayah yang semakin membimbangkan akibat perbuatan golongan terbabit.
Ia susulan pembukaan permohonan semula pengambilan pekerja asing bagi tiga sub-sektor perkhidmatan iaitu tukang gunting rambut, tekstil dan kedai emas akan bermula 10 Oktober ini.
Menteri Sumber Manusia (KSM), V Sivakumar berkata, jumlah kuota yang diperlukan adalah 7,500 termasuk 5,000 pekerja sedia ada di negara ini dan syarat permohonan perlu dibuat oleh pihak majikan.
Masalah kedatangan pendatang asing juga sukar dibendung kerana kerajaan memerlukan kehadiran mereka untuk mengisi kekosongan kerja yang kebanyakannya tidak diminati rakyat Malaysia.
Tidak dinafikan, kemasukan pekerja asing ke Malaysia sememangnya menyumbang dari segi pembangunan dan ekonomi negara.
Namun kerajaan juga perlu meneliti impak negatifnya kepada rakyat.
Ini kerana masalah lambakan warga asing turut menyumbang pada peningkatan kadar jenayah secara drastik di negara ini.
Berdasarkan laporan Sinar Harian yang disiarkan pada 15 Oktober 2019, kadar jenayah melibatkan warga asing merekodkan jumlah 42,451 kes pada tahun 2016 sehingga ogos 2019.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak 12,647 kes dicatatkan adalah dari kes curi, 11,862 kes dari pecah rumah dan 4,822 kes dari kes curi motosikal.
Golongan itu juga dilihat kebal dan tidak takut dengan tindakan undang-undang yang bakal dihadapi mereka.
Ada kalanya situasi menjadi terbalik apabila terdapat segelintir rakyat Malaysia sendiri yang berasa takut apabila melalui 'kawasan' mereka.
Sehubungan itu, Majoriti senaraikan tiga kes melibatkan warga asing yang pernah mendatangkan kemarahan netizen:
1) Warga Rohingya ditahan cabul pelajar di pasar raya
Tangkap layar kelakuan lucah seorang lelaki warga Rohingya yang bertindak mencabul pelajar perempuan di sebuah pasar raya.
Seorang lelaki warga Rohingya ditahan polis selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan dipercayai di sebuah pasar raya di Sungai Buloh, Selangor pada 6 Oktober.
Kejadian itu didedahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan suspek pada awalnya dilihat mengekori mangsa yang sedang memilih barangan di sebuah rak makanan kedai berkenaan.
Kemudian suspek terus meluru dan meraba bahagian dada pelajar perempuan tersebut sebelum berpura-pura mengambil makanan di rak.
Pelajar terbabit yang terkejut dengan kelakuan suspek, terus berlari dan memanggil seorang wanita dipercayai ibunya.
Difahamkan, pendatang asing berkenaan telah pun ditahan polis dengan beberapa lagi anggota turut berada di lokasi kejadian.
Dia cuba untuk menafikan perbuatannya, namun bukti rakaman kamera serta saksi di premis tersebut jelas membongkarkan kelakuan tidak bermoral lelaki berkenaan.
Hasil semakan polis mendapati, warga asing berusia 31 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Klang, Selangor pada 27 September lalu kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
2) Warga Rohingya ditahan raba anak jiran
Mangsa merupakan anak jiran yang tinggal berhadapan rumah suspek di Kilometer Semabok, Melaka. — Gambar hiasan
Seorang buruh binaan warga Rohingya ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Suspek berusia 35 tahun dipercayai melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa yang juga anak jiran di hadapan rumahnya di Kilometer Semabok, Melaka, pada malam 26 Disember 2022.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perbuatan itu terbongkar selepas mangsa yang bersekolah di Tahun Enam menceritakan kejadian tersebut kepada bapanya yang mendakwa suspek secara tiba-tiba telah menarik tangan kiri dan meraba di bahagian dadanya beberapa kali.
Ujar beliau, bapa mangsa berusia 50 tahun kemudian membuat laporan polis dan hasil soal siasat terhadap adik lelaki mangsa berusia 10 tahun mendakwa suspek juga pernah memberitahunya perkara berbaur seksual.
Katanya, sebelum membuat laporan polis, bapa mangsa juga telah menceritakan kejadian itu kepada kakak suspek yang kemudian bertindak menampar lelaki tersebut sebelum suspek melarikan diri.
Namun keesokan harinya suspek berjaya diberkas dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
3) Dua warga Rohingya bergilir rogol pelajar sekolah dalam kereta
Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat koyakan pada kemaluan mangsa yang dirogol. — Gambar hiasan
Dua warga Rohingya diberkas polis selepas disyaki merogol seorang pelajar tingkatan tiga secara bergilir-gilir di dalam sebuah kereta sebelum meninggalkan mangsa di taman permainan di Batu Berendam, Melaka.
Kedua-dua suspek berusia 14 dan 27 tahun itu masing-masing diberkas di Batu Berendam dan Pantai Peringgit antara pukul 6 sehingga 6.30 pagi pada 15 September lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat selepas abang mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati mangsa baru sehari mengenali suspek yang berusia 14 tahun menerusi aplikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa telah berjumpa suspek pertama kira-kira pukul 4 petang dan keluar bersiar-siar bersamanya dengan menunggang sebuah motosikal di sekitar Pantai Klebang sebelum ke sebuah restoran untuk berjumpa suspek kedua.
Mangsa berjaya ditemukan oleh abangnya berusia 22 tahun yang keluar mencarinya bersama rakan-rakan selepas bimbang gadis itu tidak pulang ke rumah.
“Mangsa serta remaja Rohingya itu kemudian telah menaiki kenderaan tersebut kononnya untuk bersiar-siar sebelum gadis berkenaan dirogol secara bergilir-gilir di dalam kereta oleh suspek di kawasan Klebang.
“Pemeriksaan pakar perubatan Hospital Melaka mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya dalam satu kenyataan.
4) Bunuh pemandu Grab, dua warga asing dihukum gantung
Gupreet (depan) dan Sua yang dijatuhi hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh pemandu Grab tempatan. — Bernama
Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 28 Julai lalu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua warga asing selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu Grab warga tempatan lima tahun lalu.
Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas warga Myanmar, Sua Lay, 38, dan warga India, Gurpreet Singh, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Nurulhuda dalam penghakiman memaklumkan tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu perkhidmatan p-hailing itu.
Katanya, hujahan kedua-dua tertuduh yang dimaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak memahami bahasa Melayu juga tidak boleh diterima kerana tertuduh mampu memberikan arahan kepada mangsa untuk berhenti awal dari tempat asal yang dituju oleh mereka.
Selain itu, Nurulhuda berkata, kedua-dua tertuduh mampu untuk memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa (ketika proses siasatan polis).
"Mangsa dijerut dan ada kecederaan pada leher. Selain itu ada penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu," kata hakim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram